Kedai Runcit

eUsahawan MDEC Latih 564,629 Pelajar, Jana RM1.26 Bilion Nilai Jualan

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berjaya melatih seramai 564,629 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), pelajar pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta usahawan di seluruh negara dengan menjana jualan terkumpul melebihi RM1.26 bilion melalui program eUsahawan.

Agensi di bawah Kementerian Digital (KD) itu, berkata eUsahawan adalah antara program Jelajah Saya Digital (JSD) yang kini berada di sini sempena program Sabah Education Tech (SET 2024) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Program tiga hari bermula semalam hingga esok itu disasar dihadiri 2,500 pengunjung dari sekitar Sabah bagi memahami secara lebih dekat peranan MDEC dan peluang yang disediakan agensi itu, khususnya dalam bidang teknologi digital.

MDEC dalam satu kenyataan berkata satu lagi program dibawa menerusi JSD ialah MyDigitalMaker yang setakat ini memberi impak kepada lebih 2.5 juta pelajar sekolah di seluruh negara melalui pembabitan dalam aktiviti pembuatan digital.

JSD@Kota Kinabalu dirasmikan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin bersama Pengerusi MDEC, Syed Ibrahim Syed Noh.

Program JSD kali ini turut disertai rakan strategik MDEC iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), TM-Unifi Business dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sama-sama mengadakan sesi perkongsian kepada orang ramai.

Kempen Saya Digital diperkenalkan pada akhir 2020 bagi membantu meningkatkan kemahiran digital rakyat Malaysia dalam mendepani ekonomi digital.

Inisiatif itu juga sebagai satu usaha dalam mendayaupayakan rakyat untuk menangani kos sara hidup, selaras dengan aspirasi kerajaan Sabah untuk mencapai objektif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

MDEC dalam kenyataan berkenaan berkata Program JSD menumpukan kepada empat teras utama iaitu Saya Digital Literasi, Saya Digital Bisnes, Saya Digital Freelance dan Saya Digital Kerjaya yang memberi manfaat kepada golongan sasar seperti B40, graduan menganggur, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), pelajar sekolah dan universiti serta usahawan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS).

“JSD sudah menjelajahi ke 69 lokasi dan berjaya melatih seramai 27,154 peserta dari seluruh negara. MDEC menyasarkan seramai 40,000 peserta untuk menyertai program JSD di 31 lokasi dan ia adalah platform terbaik untuk memperkukuh kemahiran digital rakyat termasuk usahawan.

“Dengan mengambil peluang yang ada, rakyat dapat memainkan peranan penting dalam perkembangan ekonomi digital negara,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close