Malaysia

Had Kehadiran Ahli Parlimen Cegah Risiko Jangkitan – Hisham

Pelarasan baharu di Dewan Rakyat yang membenarkan hanya 80 Ahli Parlimen menghadiri persidangan, dilihat sebagai langkah pencegahan risiko penularan COVID-19 di Parlimen, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata walaupun saringan COVID-19 terhadap semua Ahli Parlimen dan petugas terlibat dengan persidangan Dewan Rakyat telah dilaksanakan, namun risiko jangkitan wabak itu tetap ada.

Jelas beliau, ketika persidangan sedang berlangsung, ahli Parlimen dari seluruh negara berhimpun di satu kawasan dan ada antara mereka datang dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mungkin terdedah dengan wabak itu.

“Ahli Parlimen juga ada bawa petugas atau pembantu mereka dan apabila dicampur dengan petugas Parlimen… jumlah jadi ramai.

“SOP memang ada, tapi kita boleh pertingkatkan lagi bagi memastikan setiap warga Parlimen, Ahli Parlimen dan kawasan Parlimen bebas dari COVID-19, serta mengelakkan gangguan persidangan Dewan Rakyat,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai penetapan terbaharu di Dewan Rakyat yang hanya membenarkan kehadiran 80 Ahli Parlimen serta masa persidangan dihadkan dari 10 pagi hingga 2.00 petang, bermula 9 Nov hingga 15 Dis ini susulan penularan wabak COVID-19.

Selasa lepas, terdapat dua kes positif COVID-19 dikesan di Parlimen hasil ujian saringan yang dijalankan pada 28 dan 30 Okt.

Sementara itu Dr Noor Hisham sekali lagi menasihatkan penduduk yang berada dalam Zon Merah agar tidak melakukan aktiviti rentas daerah atau negeri, terutama balik ke kampung bagi mengelakkan penularan wabak itu.

Beliau menegaskan mereka yang merentas negeri mungkin membawa sekali wabak itu dan menjangkiti orang lain hingga menyebabkan kluster baharu. — BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close