GovernansMalaysiaPilihan Editor

Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara Lahir Kebimbangan Tekanan & Bebanan Sangat Tinggi Petugas Kesihatan – Pengerusi

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

 

Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara melahirkan kebimbangan dengan tekanan dan bebanan yang sangat tinggi dalam kalangan petugas kesihatan.

Sehubungan itu, Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris pohon Kerajaan mengambil langkah bijak dan perancangan strategik dalam menyusun gerak kerja yang lebih efisien dalam menangani kes-kes baharu Covid-19 setiap hari dan perlu wujudkan kolaborasi tertentu untuk memastikan fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia berjalan dengan efektif.

Demi kesejahteraan rakyat di negara ini, beliau yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia juga melahirkan keyakinan bahawa tempoh selama 14 hari adalah diharapkan dapat memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19.

“Namun Kerajaan juga wajar meneliti penilaian selepas tempoh itu sama ada perlu ada lanjutan kedua untuk tempoh dua minggu bergantung kepada kadar kes yang diperolehi secara harian,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Pada masa sama, Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menyambut baik langkah yang sangat wajar dan berhemah oleh Kerajaan berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) di seluruh negara bermula tengah malam Rabu (13 Januari 2021).

“Saya mendoakan agar pelaksanaan PKP mampu menurunkan kadar penularan dan kebolehjangkitan dalam komuniti.

“Saya juga berharap agar nilai R semasa yang berada pada paras 1.1 bagi kadar kebolehjangkitan Covid-19 di Malaysia, menurun dalam tempoh 14 hari PKP bermula Rabu ini walaupun jangkaan unjuran kes harian di negara ini dijangka boleh mencecah sehingga 5,000 kes sehari pada minggu kedua bulan April 2021 dan akan melonjak kepada 8,000 kes sehari pada minggu keempat bulan Mei 2021,” ujar Razali lagi.

Beliau berkata, kesejahteraan rakyat dan kesihatan awam adalah keutamaan sekarang demi kestabilan negara dalam mendepani pandemik Covid-19 dan sebarang desakan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah tidak bersesuaian pada waktu kesukaran kini.

“Justeru itu, pada saat kesukaran dan kepayahan sekarang termasuklah situasi banjir yang melanda Pantai Timur serta di Johor, rakyat perlu terus tabah dan bersabar dalam mendepani pandemik Covid-19.

“Teruskan berdoa dan patuhi SOP mengikut PKP di negeri masing-masing. Teruskan slogan “KITA JAGA KITA”,” kata Razali. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close