Kedai RuncitPilihan Editor

Pengusaha Agensi Pelancongan Beralih Arah Jadi Usahawan Ikan Masin

Demi menyara keluarga, dua rakan kongsi, Khairul Nizam Amat Zaini, 42, dan Nor Azizan Adnan, 49, beralih arah menjadi pengusaha ikan masin selepas lebih tujuh tahun terlibat dalam industri pelancongan.

Segala-galanya bermula apabila kedua-duanya mula berjinak-jinak menjalankan perniagaan ikan segar yang diambil dari Tanjung Karang, Kuala Selangor sejak setahun lepas setelah negara dilanda pandemik COVID-19 sehingga dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Apabila negara dilanda wabak, industri pelancongan terus merudum. Kami perlu mencari alternatif bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Jadi, kami pun bermula sebagai penjual ikan segar, namun berubah untuk mengusahakan ikan masin sejak Disember 2020 selepas melihat potensinya,” kata Khairul Nizam kepada Bernama.

Bercerita lanjut, pemilik My Altitute 30 Travel & Tours Sdn Bhd itu berkata perniagaan ikan masin menerusi label Tiga Budak Travel ini tercetus apabila terdapat lebihan ikan segar yang tidak terjual.

Khairul Nizam berkata mereka kemudiannya mempelajari pembuatan ikan masin melalui Youtube.

“Sejak itu, kami mencuba sendiri dengan membeli ikan-ikan dari nelayan, memerap dengan garam dan menjemurnya di bawah matahari terik untuk beberapa hari.

“Semua ikan ini akan disiang dan dibersihkan untuk mengelakkan tindak balas kuman yang boleh menjejaskan mutu hasilnya,” katanya.

Aspek kebersihan sangat dititiberatkan sepanjang proses pembuatan ikan masin itu bagi memastikanya bebas kuman sekali gus menjadikannya tahan lebih lama.

Antara ikan yang popular dijadikan sebagai ikan masin ialah gelama, tenggiri, ikan bulu ayam dan pelaling yang dijual antara RM10 hingga RM70 sekilogram.

“Awalnya, kami bermula dengan lima kilogram pelbagai jenis ikan. Alhamdulillah, dapat sambutan yang memberangsangkan.

“Sekarang, walaupun menggunakan kaedah tradisional, kami berupaya menghasilkan 80 sehingga 100 kilogram ikan masin dalam tempoh seminggu,” katanya yang mempromosi dan memasarkan hasil ikan masin secara dalam talian menerusi pelbagai platform media sosial.

Susulan itu, Khairul Nizam berkata melihat kepada potensi perniagaan sedia ada, mereka merancang untuk membuka kedai suatu hari nanti.

“Kami melihat industri pelancongan tidak akan berkembang dalam tempoh tiga tahun ini jadi kami memikirkan alternatif untuk meneruskan perniagaan ini,” katanya. — BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close