Pilihan EditorTurun Naik

Henti Berpolitik, Beri Peluang Kerajaan Perpaduan Tadbir Negara

Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed

ANTARA titah Raja Melayu baru-baru ini ialah menggesa kerajaan menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat dan menggunakan peluang yang ada sebaiknya untuk memacu negara ke tahap lebih baik.

Banyak yang boleh diambil iktibar dengan titah dan saranan Raja ini kerana pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan masih ramai yang membangkitkan isu perkauman dan agama sehingga mencetuskan ketidakselesaan dalam masyarakat.

Hakikatnya, semua pihak perlu sedar, sudah tiba masa kita menoktahkan segala politiking dan provokasi yang menjejaskan pembangunan negara dan mengganggu gugat keharmonian rakyat.

Rakyat, parti dan calon, terutama yang menang ketika PRU15, tetapi tidak menjadi kerajaan perlu menerima kenyataan pilihan raya sudah selesai, rakyat sudah membuat pilihan, Perdana Menteri dan barisan Kabinet juga telah dilantik.
Justeru, semua pihak perlu menerima keputusan itu dengan hati terbuka seterusnya memberi perhatian sepenuhnya untuk merapatkan hubungan demi memupuk semangat kebersamaan sekali gus membangunkan negara dan memulihkan ekonomi serta kehidupan rakyat.

Sampai bila kita mahu berpolitik dengan naratif mahu menggugat kestabilan kerajaan dan menghasut rakyat dengan pelbagai agenda serta propaganda jahat.

Semua pihak perlu yakin kepada Perdana Menteri dan barisan Kabinet untuk melakukan terbaik dengan menampilkan agenda reformasi dan islah untuk memulihkan ekonomi, memperkasa tadbir urus, menambah pendapatan rakyat serta mengurangkan kos sara hidup.

Perlu masa rangka strategi

Tugas ini bukan mudah dan tidak mungkin boleh diselesaikan sekelip mata, justeru wajar untuk diberi masa secukupnya kepada mereka untuk merangka strategi dan melaksanakannya dengan cekap dan efisien.

Hakikatnya, Malaysia merekodkan 434,197 ketua isi rumah (KIR) tergolong dalam kelompok miskin dan miskin tegar dengan kehidupan kumpulan itu semakin tersepit apabila negara dilanda kenaikan kos sara hidup akibat inflasi.

Daripada angka 434,197 itu, sebanyak 130,709 mewakili KIR berstatus miskin tegar, manakala 303,488 lagi mewakili KIR berstatus miskin.

Untuk berlaku adil, semua pihak perlu memberi peluang kepada kerajaan baharu bekerja dan melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa sebarang gangguan.

Kerajaan Perpaduan boleh dinilai prestasi dan pencapaian mereka apabila tiba masanya dan pada ketika ini, menjadi tanggungjawab semua pihak menyokong perancangan dan inisiatif bakal dilaksanakan demi kebaikan rakyat dan negara.

Paling penting, semua parti dan rakyat perlu berganding bahu memulihkan Malaysia dan tidak berprasangka buruk serta negatif terhadap mana-mana pihak hanya kerana berbeza ideologi politik.

Ironinya, menang atau kalah pada pilihan raya bukan segala-galanya. Berpolitik perlu ada batasnya dan politik perkauman serta kebencian perlu ditamatkan.

Sekarang, parti dan wakil rakyat yang tidak menjadi kerajaan perlu bertenang dan melupakan apa yang berlaku pada PRU15 walaupun pahit untuk ditelan.

Itulah maksud sebenar semangat kebersamaan dititahkan Raja Melayu. Ia perlu disuburkan demi membina semula bangsa dan negara terutama pada waktu pasca pandemik. – BH ONLINE

  • Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM)

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close