MalaysiaPilihan EditorTurun Naik

PRN6: Walak, Cah Keting Beri Kesan Perjalanan Kempen PRN Terengganu – Penganalisis

Oleh Dr Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar

Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu menjadi medan menguji kesetiaan dan keikhlasan gabungan parti politik bagi memacu kemenangan di negeri itu.

Kerjasama PAS dan BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN) sudah teruji pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada tahun lalu, sedangkan kerjasama Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) belum diduga lagi. Kekejapan ikatan tali gabungan parti komponen menjadi pemacu kepada gerak kerja kempen, pemilihan calon culaan dan aktivis parti.

Umum mengetahui Kerajaan Perpaduan menggabungkan PH dan BN bersama gabungan lain baru berusia lapan bulan. Sebahagian pemerhati dan pemain politik melihat ia gabungan rapuh dan hanya bergantung pada Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti sebagai talian hayat.

Sifat skeptikal dan sinikal ini jelas memberi gambaran tidak baik kepada Kerajaan Perpaduan, terutama dalam menghadapi PRN. Dalam mana-mana gabungan, akan terdapat parti mendominasi terutama di negeri tertentu, manakala parti lain menumpang kekuatan itu.

Boleh difahami kelima-lima kerusi itu kubu kuat UMNO. UMNO memenangi DUN Hulu Besut, Permaisuri, Seberang Takir, Telemong dan Kijal pada PRU14. Namun, dalam tempoh 2018 hingga 2023, PAS membina kekuatan berganda di DUN berkenaan apabila pimpinan utama PAS juga bakal calon berada di lapangan sejak hari pertama selepas PRU14.

Namun, atas semangat gabungan, kerusi berkenaan perlu diserahkan kepada calon BERSATU. Kekecewaan aktivis PAS adalah jelas, tetapi manhaj PAS mendidik ahli parti nyata membuahkan hasil apabila akur arahan pimpinan walaupun terselit kekecewaan.

DUN Seberang Takir boleh menjadi medan menguji keikhlasan PAS dalam PN apabila calon parti itu pada PRU14 terus bekerja persis seorang ADUN walaupun tewas. Menerusi pemerhatian penulis di lapangan, individu berkenaan menggunakan kapasiti sebagai Penyelaras DUN Seberang Takir memposisikan beliau sebagai bakal calon pada PRN15.

Beliau cukup dikenali pengundi di kawasan itu. Walaupun kecewa dan ralat, keputusan parti meletakkan calon BERSATU di kerusi terbabit diterima dengan penuh walak oleh ahli PAS apabila turun dengan penuh semangat pada hari penamaan calon di Seberang Takir.

Begitu juga kerusi Telemong yang turut menyaksikan kekecewaan ahli PAS apabila figura parti itu yang cukup popular dalam kalangan orang kampung tidak dicalonkan. Namun, sifat walak pada keputusan pimpinan mengatasi rasa ralat dan kecewa. Ahli PAS bukan sahaja reda dengan keputusan pimpinan, malah menggerakkan gerak kerja pilihan raya ekoran BERSATU tiada akar umbi di Terengganu.

PH tiada asas kuat di Terengganu

Situasi hampir sama berlaku pada UMNO dan PH di Terengganu. Pimpinan UMNO Terengganu, menerusi kenyataan terbuka jelas merumuskan PH tidak mempunyai tarikan dan asas kuat di negeri itu.

UMNO jelas mendominasi pembahagian kerusi, sekali gus menjadikan PRN Terengganu sebagai pertembungan antara PAS dengan UMNO. Parti komponen lain adalah sekadar ‘bunga manggar’.

Disebabkan kekurangan ahli akar umbi, aktivis PH tidak mampu memberikan bantuan tenaga kepada gerak kerja PRN kerana mereka fokus pada kerusi ditandingi mereka sahaja. Kerusi ditandingi UMNO bergerak dengan bantuan daripada rakan komponen PH sangat minimum.

Situasi sama berlaku di DUN ditandingi calon PH apabila rakan daripada UMNO tidak bersungguh menawarkan bantuan tenaga kerja. Situasi sedikit berbeza di kawasan Parlimen tidak ditandingi calon PH seperti Kemaman. Aktivis PH Kemaman pada pemerhatian penulis, bersama-sama turun berkempen dan mengadakan ceramah kelompok bersama dengan calon UMNO.

Permasalahan dalaman UMNO juga sedikit melesukan kempen parti itu. Situasi ini jelas berlaku di DUN menyaksikan calon pilihan tidak dicalonkan. Dapat difahami kekecewaan bakal calon dan penyokong mereka bertungkus-lumus di lapangan. Akhirnya, individu dicalonkan ialah figura jauh daripada pengundi dan terhenti selama sepenggal.

Isu ‘cah keting’ menjadi masalah utama UMNO Terengganu masih belum bertemu dengan penawarnya. Ini menyebabkan penyokong daripada kem berbeza lesu dan kempen tidak berjalan dengan rancak.

Dalam senario ini, PAS sedang mengungguli perlumbaan di Terengganu. Tidak hairanlah beberapa dakwaan skandal penjualan lot tanah di kawasan komersial di Kuala Terengganu dan Kuala Berang umpamanya sekadar menjadi ‘kudis gatal’ kepada PAS Terengganu.

Temu bual di lapangan oleh penulis agak mengejutkan kerana reaksi diterima adalah ‘UMNO juga tidak terlepas daripada dakwaan berbuat sedemikian ketika memerintah negeri berkenaan berdekad-dekad lamanya’.

Umumnya, pengundi di Terengganu melihat PAS lebih bersih daripada UMNO, sekali gus menutup kelemahan PAS seperti pengurusan air lemah, pengindahan bandar dan pekan semakin merosot, kelesuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta tiada perubahan fizikal dilakukan sepanjang tempoh mereka mentadbir.

Dalam kalangan pengundi muda, kajian soal selidik penulis mendapati 81 peratus pengundi belia berpuas hati dengan prestasi kerajaan pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, manakala 72 peratus anak muda berasakan kepemimpinan kerajaan negeri sekarang perlu dikekalkan.

Walaupun 12 peratus sahaja responden memahami konsep Maju Berkat Sejahtera dan hanya 9 peratus pernah bersua muka dengan wakil rakyat, mereka memilih mengekalkan kerajaan PAS sekarang.

Tumpuan perlu diberi gabungan UMNO-PH adalah mengekalkan 10 kerusi DUN dimenangi pada PRU14. Kejayaan mengekalkan kerusi berkenaan sudah dikira besar.

Seandainya mereka gagal mengekalkan kerusi berkenaan, ia jelas akan meruntuhkan moral parti dan memberi isyarat bahawa pucuk pimpinan UMNO Terengganu perlu dirombak. – BH ONLINE

 

  • Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA)

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close