Dimensi Bisnes

Industri Automotif Sedia Peluang Kerja Graduan Muda – Timbalan Menteri MITI

Industri automotif tempatan menjadi sektor utama dalam mewujudkan peluang pekerjaan kepada tenaga kerja muda di Malaysia, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong.

Beliau berkata, kursus yang ditawarkan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) bagi melatih dan kemahiran semula menawarkan peluang graduan tempatan mendapatkan pekerjaan dalam industri automotif selepas tamat kursus.

“Terdapat 15 program kemahiran semula dan meningkatkan kemahiran dalam kursus yang direka bagi membantu graduan mendapat pekerjaan dalam industri automotif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat Akademi Teknologi MARii di sini sempena Hari Kemahiran Belia Dunia.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azhar Taib.

Antara program yang dikendalikan MARii termasuk Persijilan Kejuruteraan Industri Automotif (AICE) bagi mereka yang memilih memulakan kerjaya lulusan kejuruteraan dalam industri automotif.

Menerusi program itu, peserta akan menjalani kursus intensif selama lapan bulan, merangkumi latihan dalam kelas dan praktikal pekerjaan dalam industri.

Kursus itu bertujuan untuk melengkapkan graduan dengan kemahiran dalam reka bentuk produk dan proses, proses pembuatan serta sistem pengurusan kualiti.

Ban Hong berkata, satu lagi program yang ditawarkan MARii ialah Persijilan Kejuruteraan Prototaip Digital Industri Automotif (AICE-DEP), yang mana dibangunkan berdasarkan AICE, dengan fokus dalam reka bentuk automotif.

Katanya, dengan AICE-DEP, graduan akan menyertai kursus intensif selama enam bulan dengan pendedahan kepada pelbagai kemahiran dan pengetahuan dalam bahagian reka bentuk automotif termasuk penempatan langsung dengan syarikat automotif.

“Apabila tamat pengajian, peserta akan berpeluang bekerja dengan beberapa syarikat automotif berdasarkan penilaian prestasi mereka sepanjang tempoh penempatan.

“Program ini juga tidak terhad kepada graduan, malah turut terbuka kepada pekerja industri automotif sedia ada, vendor, pemilik bengkel dan orang awam,” katanya.

Antara program yang sama dikendalikan MARii termasuk Program Kepimpinan Perantis Industri, Program Persijilan Profesional Peneraju Industri (IPC), Program Transformasi Bengkel dan Program Kecemerlangan Pembekal Automotif (ASEP).

Tahun lalu, MARii yang juga agensi di bawah MITI berjaya melatih hampir 6,000 peserta termasuk pelajar universiti, graduan dan pekerja industri sedia ada.

Ban Hong berkata, MARii menyasarkan untuk melatih tambahan 9,780 peserta tahun ini.

“Graduan dan pekerja industri automotif tempatan perlu memanfaatkan sepenuhnya program kemahiran semula dan peningkatan kemahiran yang disediakan MARii bagi meningkatkan kemahiran untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam industri automotif global.

“Ia akan membantu Malaysia merealisasikan hasrat menjadi hab pekerja kemahiran tinggi dan ini adalah antara pemangkin untuk menarik pelaburan bernilai tinggi ke Malaysia,” katanya. – BERITA HARIAN

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close