MalaysiaPilihan Editor

Johari Abdul Sahkan Nama Tersenarai Calon Speaker Dewan Rakyat

Bekas Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, menjadi pilihan Pakatan Harapan (PH) bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Perkara itu disahkan Johari, yang menyatakan nama beliau memang ada dalam senarai calon yang dikemukakan partinya.

“Saya mengesahkan nama saya dalam senarai, namun setakat ini, parti tidak memanggil saya berhubung perkara itu.

“Ada beberapa nama lain dalam senarai tetapi saya tidak pasti siapa yang dicalonkan,” katanya kepada BH.

Terdahulu, beberapa portal memetik sumber melaporkan, pencalonan Johari, yang juga bekas Ketua Whip PKR di Parlimen, selain beberapa nama lain.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lanang daripada DAP, Alice Lau dan Ahli Parlimen Cameron Highland, Ramli Md Nor daripada Barisan Nasional (BN), dilapor dicalonkan bagi jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mengesahkan PN sudah menghantar dua nama untuk dicalonkan sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, seorang daripada calon adalah bekas menteri dan tokoh dikenali.

Difahamkan, seorang lagi calon adalah bekas Timbalan Speaker, Datuk Abdul Rashid Hasnon.

Sementara itu, FMT melaporkan, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut dicalonkan PN untuk jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Mas Ermieyati menjadi Ahli Parlimen Masjid Tanah untuk penggal ketiga, selepas berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 4,411 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Kelmarin, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, berkata Isnin lalu adalah hari terakhir bagi pemakluman dan pemberian notis berhubung pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat kepada Setiausaha Dewan Rakyat, sebelum persidangan Parlimen berlangsung 19 Disember ini.

Azhar perlu mengosongkan jawatannya itu mulai jam 12 tengah malam pada 18 Disember ini, seperti termaktub mengikut Perlembagaan.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat Ke-10, menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof pada 13 Julai 2020.

Pertukaran itu berlaku berikutan perubahan pentadbiran Kerajaan Persekutuan selepas Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan diganti oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close