Dimensi BisnesPilihan Editor

BELANJAWAN 2021: Usaha Tarik Golongan Muda Ceburi Ekonomi Gig

Kerajaan telah memulakan beberapa inisiatif seperti merombak silibus dan menggabungkan pembelajaran serta meningkatkan kemahiran diperlukan bagi mempersiapkan golongan muda seperti siswazah menceburi ekonomi gig.

Menurut Laporan Tinjauan Ekonomi 2021 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan hari ini, sejajar peningkatan golongan itu dalam ekonomi gig, institusi pengajian tinggi perlu beralih daripada sistem pengajaran dan pembelajaran yang hanya memberi fokus kepada melahirkan pelajar menjadi pekerja sepenuh masa.

“Tenaga kerja perlu dilengkapi dengan kemahiran bersesuaian untuk menyokong ekonomi gig sebagai salah satu sumber baharu pertumbuhan negara.

“Ini termasuk menyediakan lebih banyak latihan dalam pembangunan perisian dan teknologi, karya kreatif dan multimedia, kemasukan dan analisis data serta penulisan dan terjemahan.”

Menurut laporan itu, kerajaan telah melancarkan program latihan Global Online Workforce (GLOW) oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan peruntukan sebanyak RM25 juta serta program myGIG bagi membolehkan rakyat Malaysia menjana pendapatan lebih tinggi melalui pendigitalan.

Malah, sehingga Ogos 2020, terdapat 140 platform yang menyediakan peluang kepada pekerja gig dan bebas dengan anggaran seramai 540,000 pekerja aktif di Malaysia.

“Syarikat seperti Grab dan Foodpanda terus mencatatkan peningkatan jumlah pekerja ekonomi gig selain sekitar 190,000 pekerja yang terbabit sebagai penunggang dan pemandu di pelbagai platform logistik di Malaysia.

“Ini menunjukkan kebanyakan generasi milenium yang lebih cenderung untuk tidak terlibat dalam guna tenaga tradisional kerana ekonomi gig menawarkan kebebasan dan fleksibiliti lebih tinggi serta sesuai dengan aspirasi mereka.”

Menurut laporan itu, kajian oleh Zurich-University of Oxford pada 2018 mendapati 38 peratus responden di Malaysia yang bekerja sepenuh masa ingin menceburi ekonomi gig dalam tempoh 12 bulan akan datang.

“Kebangkitan generasi milenium dan teknologi digital merupakan faktor utama menyumbang kepada lonjakan ini.”

Laporan itu juga menyebut selaras dengan peningkatan jumlah pekerja gig, kerajaan sedang mempertimbang undang-undang baharu untuk mengawal selia ekonomi gig bagi melindungi kebajikan pekerja. — BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close