Yum Brands melaporkan penurunan mengejut dalam jualan kedai sama di seluruh dunia apabila rangkaian KFC bergelut dengan permintaan yang lembap di Amerika Syarikat (AS), serta jualan antarabangsa yang tidak stabil.
Jualan kedai sama KFC di AS merosot lima peratus, menandakan penurunan suku ketiga berturut-turut tahun ini.
Penurunan itu berlaku walaupun Yum pada Ogos melancarkan tawaran AS$5 untuk dua item baharu di bawah menu nilai ‘Rasa KFC’, termasuk pek lapan ketul nuget ayam serta mangkuk nugget ayam sebagai tambahan kepada hidangan dua ketul paha dan dada ayam.
Syarikat itu bertindak balas terhadap ‘perang nilai’ yang berterusan dalam industri makanan segera daripada syarikat seperti McDonald’s dan Burger King.
Saham Yum turun kira-kira satu peratus dalam dagangan prapasaran. Saham syarikat itu telah meningkat 1.6 peratus setakat tahun ini.
Di pasaran antarabangsa, syarikat induk Pizza Hut itu menghadapi kesan berpanjangan daripada boikot yang berkaitan dengan perang Israel di Gaza.
Kesan jualan daripada konflik itu telah muncul di beberapa pasaran lain selain Malaysia, Indonesia dan Asia Barat, kata eksekutif syarikat pada Ogos.
Syarikat induk Burger King, Restaurant Brands International tidak menepati jangkaan hasil suku tahunan, manakala McDonald’s melaporkan penurunan jualan global suku tahunan terbesarnya dalam empat tahun minggu lalu.
Tidak termasuk item, Yum memperoleh AS$1.37 sesaham pada suku ketiga berakhir 30 September.
Penganalisis secara purata menjangkakan keuntungan sebanyak AS$1.41 sesaham. – REUTERS