Pilihan EditorTurun Naik

Perhebat Kempen Perjelas Rasionalisasi Subsidi

Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed

Jentera penerangan kerajaan perlu lebih aktif, serius dan agresif untuk turun padang ketika kerajaan dijangka melaksanakan rancangan rasionalisasi subsidi pada separuh kedua tahun depan.

Keperluan memberi penerangan kepada rakyat mengenai tujuan dan kelebihan program subsidi bersasar itu bertujuan mengelak tanggapan negatif serta pemahaman kurang tepat.

Masih ramai beranggapan penarikan balik bantuan subsidi di beberapa sektor akan meningkatkan harga barangan dan perkhidmatan.

Rasionalisasi subsidi sebahagian pembaharuan ekonomi antara lain menamatkan subsidi secara pukal bagi ayam, menghentikan subsidi elektrik kepada isi rumah berpendapatan tinggi serta melaksanakan pendekatan bersasar bagi diesel.

Misalnya dalam kes penyasaran semula subsidi elektrik, Belanjawan 2024 menjelaskan kerajaan melaksanakan subsidi bersasar dengan melepaskan sebahagian subsidi bagi 10 peratus penggunaan elektrik tertinggi.

Pada masa sama, kerajaan memutuskan mengekalkan subsidi sama bagi 90 peratus pengguna melalui pendekatan bersasar yang dapat menjimatkan lebih RM4.6 bilion daripada unjuran subsidi elektrik RM20 bilion setahun.

Rakyat perlu diberi penjelasan walaupun program penyasaran semula subsidi elektrik akan menyebabkan kenaikan tarif elektrik antara 4.2 hingga enam peratus bil bulanan mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2024, ia tidak membabitkan 85 peratus atau 7 juta pengguna domestik di Semenanjung dengan penggunaan kurang 600kWj.

Kadar bil bulanan kelompok ini tidak akan mengalami sebarang perubahan dan terus kekal menikmati rebat dua sen/kWj.

Rakyat perlu tahu dan faham rasionalisasi subsidi bertujuan memastikan perbelanjaan kerajaan menjadi lebih berfokus dan sampai kepada kumpulan sasaran utama, selain penjimatan boleh disalurkan kembali kepada rakyat demi meningkatkan kebajikan serta keselesaan hidup seperti pendidikan, kesihatan serta kemudahan asas.

Bela nasib B40, M40

Subsidi bersasar juga mampu menangani masalah ketirisan dan kebocoran subsidi selama ini hingga golongan layak dinafikan hak, sebaliknya yang tidak layak dan warga asing terus menikmatinya.

Rakyat perlu diterangkan kos subsidi ditanggung kerajaan semakin meningkat dengan anggaran keseluruhan di seluruh negara termasuk elektrik, minyak dan makanan mencecah RM81 bilion.

Rasionalisasi subsidi sangat wajar demi membela nasib golongan B40 dan M40 selain mengimbangi masalah kewangan dan ekonomi negara menerusi pengurangan beban tanggungan kerajaan. Justeru, ia perlu diterangkan kepada rakyat agar tidak dipolitikkan pihak tidak bertanggungjawab.

Jentera penerangan perlu menyusun gerak kerja untuk turun padang menemui anggota masyarakat, terutama di luar bandar untuk menerangkan keperluan rasionalisasi subsidi, kebaikan bakal dinikmati golongan berpendapatan rendah serta manfaat penjimatan akan diperoleh apabila disalurkan kembali kepada rakyat.

Kita tidak boleh mengharapkan rakyat membaca dan mengetahui penyusunan semula subsidi menerusi media cetak serta elektronik semata-mata.

Rakyat akan lebih terkeliru apabila bergantung kepada media sosial yang dikupas golongan bukan pakar dan tidak bertanggungjawab hingga memesongkan fakta, sekali gus mencetuskan ketakutan dan menimbulkan rasa tidak puas hati.

Jentera penerangan kerajaan perlu mendekati masyarakat melalui jerayawara agar dapat memberikan penjelasan dan membuka ruang untuk mereka memberikan maklum balas.

Perlu ada usaha agresif menangkis berita palsu mengenai rasionalisasi subsidi ditularkan dengan sengaja. Lawan berita palsu dengan data dan fakta benar, betul serta tepat melalui kaedah lebih mudah difahami.

Kita tidak mahu rakyat memasuki tahun baharu dengan pemahaman negatif dan bimbang terhadap lonjakan harga barang serta inflasi. Menjadi tanggungjawab setiap agensi kerajaan dan jentera penerangan mengadakan sesi libat urus sebanyak mungkin. – BH ONLINE

  • Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM)

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close