Pilihan EditorTurun Naik

Kajian Separuh Penggal RMK-12 Garis Anjakan Besar – Ahli Ekonomi

Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin ini sememangnya memerlukan penambahbaikan dan anjakan menyeluruh.

Antara anjakan besar yang mungkin disentuh membabitkan peningkatan kecekapan perkhidmatan awam; kemampanan fiskal kerajaan; subsidi bersasar; gaji progresif; perumahan; tenaga boleh diperbaharui; jaringan keselamatan sosial; keterjaminan makanan; perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS); infrastruktur awam dan ekonomi digital.

Penambahbaikan jangka dibuat memandangkan persekitaran ekonomi dan sosial di negara ini banyak berubah sejak RMK-12 diperkenalkan pada 2021 iaitu ketika negara giat bergelut dengan pandemik COVID-19.

Namun, situasi ketika ini banyak berubah dan negara berada dalam fasa berlainan dari segi isu dan cabaran, kata penganalisis.

Malah, ia juga perlu sejajar dengan hala tuju pentadbiran baharu negara ketika ini iaitu yang berlandaskan kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat.

Tumpuan pastinya ke arah mencapai negara sejahtera, mampan dan berpendapatan tinggi dengan menaikkan ‘lantai’ dan ‘siling’ ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pejajaran semula wajar dilaksanakan selaras konsep Ekonomi MADANI.

Katanya, terdapat perkara yang perlu ubah suai dan ditambah baik dalam rancangan lima tahun itu supaya waktu yang ‘hilang’ ketika COVID-19 dapat diganti semula demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, sejak RMK-12 dilancarkan, pencapaian setakat ini dilihat masih agak bercampur seperti sasaran nisbah gaji pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah 40 peratus, namun pencapaian setakat 2022 adalah 32.4 peratus.

Selain itu, katanya pertumbuhan ekonomi yang dijangkakan adalah antara 4.5 hingga 5.5 peratus, manakala pencapaian sebenar 3.3 peratus dan 8.7 peratus pada 2021 dan 2022.

“Justeru, ia agak meruap bagi trend pertumbuhan KDNK. Oleh itu, apa yang perlu dilakukan adalah mempercepatkan pelaksanaan projek projek infrastruktur yang berimpak tinggi supaya kesan limpahannya dapat dirasai secepat mungkin,” katanya kepada BH.

Mohd Afzanizam berkata, sektor pendidikan perlu dilihat semula terutama pendidikan rendah supaya mata pelajaran utama seperti Matematik dapat diajar dengan pendekatan yang menarik minat pelajar terhadap subjek itu.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam video klip yang dimuatkan dalam laman sosialnya berkata, Kajian Separuh Penggal RMK-12 disifatkan sebagai rancangan yang baharu.

Malah, katanya kajian separuh penggal itu juga dilihat unik memandangkan COVID-19 yang berlaku pada 2020 hingga 2022 telah merubah banyak perkara, justeru ia perlu dinilai 100 peratus kerana tanggapan ataupun perancangan dibuat sebelum itu, sekarang sudah tidak boleh diguna pakai.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff bersetuju dengan pandangan Rafizi bahawa kajian itu perlu dibuat secara 100 peratus dan menyeluruh kerana banyak peristiwa serta perubahan yang berlaku pada peringkat global dan domestik sejak dua hingga tiga tahun lalu yang memaksa kerajaan menilai kembali dasar sedia ada.

Selain itu, katanya, ia bagi memenuhi keperluan meningkat untuk memastikan negara kekal mampan dan berdaya saing dengan menjadi negara terkehadapan dalam industri baharu, terutama industri berasaskan teknologi terkini.

“Menggunakan kepesatan teknologi untuk memperkasakan sektor tradisional yang menjadi semakin penting seperti agromakanan dan penerokaan mineral contohnya, nadir bumi.

“Namun, di samping keinginan untuk menilai 100 peratus RMK-12, agenda utama tidak harus dilupakan iaitu kesejahteraan dan kemakmuran rakyat yang mana usaha menangani kos sara hidup mesti diteruskan bersama dengan meningkatkan kualiti hidup melalui gaji dan pekerjaan lebih kompetitif serta mengurangkan jurang kekayaan antara rakyat,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close