PROTON Holdings Bhd (PROTON) menurunkan harga barisan model keluarannya sekitar 1.2 peratus hingga 5.7 peratus berkuatkuasa hari ini.
Ia selaras dengan pengumuman kerajaan berhubung pengecualian cukai jualan pembelian kereta di Malaysia untuk tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 2020.
“PROTON ingin mengambil peluang ini untuk memberitahu bahawa ini adalah masa yang terbaik untuk memiliki sebuah Proton baharu kepada mereka yang sedang mencari untuk membeli kereta.
“Dengan adanya bilangan pusat 3S/4S terbanyak di negara ini, barisan kereta yang telah ditambah baik, peningkatan demi peningkatan yang telah kami perkenalkan serta harga baharu, pelanggan kini boleh menikmati pemilikan kereta dengan nilai yang menarik” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Berikutan langkah pengecualian cukai jualan, pelanggan Proton akan menikmati penjimatan sehingga RM500 bagi model Saga, manakala model Exora pula sehingga RM2,500, Iriz dari RM500 hingga RM800; Persona (dari RM500 hingga RM900) dan X70 (dari RM4,900 hingga RM7,000).
Chunrong berkata, PROTON menerima baik inisiatif kerajaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan pengiktirafan terhadap industri automotif Malaysia sebagai antara yang terpenting di dalam ekosistem negara.
“Dengan seramai 700,000 pekerja secara langsung dan tidak langsung berada di dalam industri, ia menyumbang sekitar 4.3 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK), sekali gus memainkan peranan utama dalam usaha pemulihan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata, syarikat sedang mengatur beberapa strategi untuk meningkatkan jualan dan pada masa yang sama mengambil kira sentimen pembeli sepanjang tahun 2020.
“Ini termasuklah menerapkan penjarakan sosial yang ketat dan melakukan sanitasi secara kerap di pusat pameran dan servis serta turut menggalakkan penggunaan tempahan dalam talian bagi transaksi tanpa sentuhan.
“Sebagai sebuah syarikat automotif negara, PROTON akan membantu merancakkan semula semua segmen industri automotif.
“Kami akan terus bekerjasama dengan para pembekal dan pengedar untuk memastikan mereka mampu mengharungi cabaran ini dan bersedia dalam membantu pertumbuhan ekonomi sekali lagi,” katanya. – BERITA HARIAN ONLINE
Info:
Penjimatan pembelian kereta Proton
Saga:
* 1.3 Standard MT – RM400
* 1.3 Standard AT – RM500
* 1.3 Premium AT – RM500
Exora
* 1.6 Executive CVT – RM2,500
* 1.6 Premium CVT – RM2,000
Iriz
* 1.3 Standard MT – RM500
* 1.3 Standard CVT – RM500
* 1.3 Executive CVT – RM600
* 1.6 Executive CVT – RM700
* 1.6 Premium CVT – RM800
Persona
* 1.6 Standard MT – RM500
* 1.6 Standard CVT – RM600
* 1.6 Executive CVT – RM700
* 1.6 Premium CVT – RM900
X70
* 1.8 Standard 2WD – RM4,900
* 1.8 Executive 2WD – RM5,800
* 1.8 Premium 2WD – RM6,700
* 1.8 Premium X 2WD – RM7,000