GovernansPilihan Editor

Projek Laluan Rel Pantai Timur Dijangka Beroperasi Januari 2027

Perkhidmatan kereta api projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka mula beroperasi seawal 1 Januari 2027 dan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi wilayah itu serta negara bagi tempoh beberapa dekad akan datang.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata projek ECRL yang dijadualkan siap pada akhir 2026, akan menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan Lembah Klang.

“Projek ini juga dijangka mampu merancakkan perdagangan di antara Malaysia dan China.

“Adalah diharapkan projek ini yang turut membabitkan negara itu dapat membolehkan eksport komoditi negara, khususnya minyak, gas, kelapa sawit, getah dan produk pengilangan menembusi pasaran China secara lebih meluas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini selepas mendengar taklimat berkaitan projek infrastruktur mega berkenaan.

Abdul Rahim berkata apa yang menarik adalah ECRL berdasarkan landasan tolok piawaian berbanding rel berkembar sedia ada yang menggunakan tolok tiga meter.

“Projek ECRL menggunakan saiz landasan tolok piawaian yang membolehkan pemasangan gerabak kereta api dengan kelajuan 160 kilometer (km) sejam.

“Tolok sedemikian boleh menggunakan tren laju sehingga melebihi 300 km sejam mengikut keperluan operator perkhidmatan,” kata beliau.

Menurutnya, jarak landasan ECRL 2.0 sejauh 640 km itu telah dipendekkan berbanding laluan asal 688 km dengan jumlah stesen kereta api dikurangkan kepada 20 berbanding 26 sebelum ini.

Pengurangan jarak 48 kilometer itu juga dijangka dapat membantu mengurangkan kos sebanyak RM21.5 billion kepada RM44 bilion berbanding kos asal yang mencecah RM65.5 bilion, kata beliau. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button
Close