GovernansMalaysiaPilihan Editor

PKP Selama 2 Minggu Bemula 12.01 Tengah Malam, Rabu, 13 Januari 2021

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

 

Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh 14 hari bemula jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perintah ini melibatkan tiga peringkat pelaksanaan seperti berikut:

a. Pertama, PKP ke atas enam (6) buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

b. Kedua, PKP Bersyarat (PKP-B) ke atas enam (6) buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

c. Ketiga, PKP Pemulihan (PKP-P) pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.

Menurut Perdana Menteri, negeri-negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh KKM dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum.

“KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat.

“Bagi mengurangkan risiko jangkitan dan memutuskan rantaian COVID-19 ini, aktiviti sosial yang melibatkan perkumpulan beramai-ramai seperti kenduri kahwin, persidangan, perarakan keagamaan termasuk Thaipusam, mesyuarat, seminar, kursus dan sukan berkumpulan adalah TIDAK DIBENARKAN sama sekali.

“Bagaimanapun bagi negeri-negeri di bawah pelaksanaan PKP-P, aktiviti sosial adalah dibenarkan, tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat,” katanya dalam satu perutusan khas, hari ini.

Pergerakan rentas negeri adalah TIDAK DIBENARKAN di seluruh negara manakala bagi kawasan PKP, pergerakan rentas daerah juga TIDAK DIBENARKAN.

Susulan larangan pergerakan merentas negeri dan daerah ini, operasi sekatan jalan raya (SJR) akan mula berkuatkuasa pada jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021.

Bagi negeri yang dilaksanakan PKP, pergerakan anda adalah terhad di dalam 10 kilometer radius sahaja.

Bagi tujuan membeli barangan keperluan dari pasar raya atau kedai runcit yang berdekatan, HANYA DUA (2) anggota isi rumah yang dibenarkan untuk keluar dan berada di dalam kenderaan yang sama.

Mana-mana individu yang melanggar larangan ini boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

Bagi sektor ekonomi, Kerajaan telah mengenal pasti lima (5) sektor yang dibenarkan beroperasi dan dikategorikan sebagai sektor ekonomi perlu (Essential economic sector) iaitu pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi.

Sektor ini dibenarkan beroperasi kerana peranannya menyokong kerja-kerja membekal keperluan asas seperti makanan, minuman dan barangan keperluan rumah serta penjagaan diri; kelengkapan PPE, peranti perubatan dan ubatan kepada petugas kesihatan; aktiviti perdagangan antarabangsa; memastikan rantaian bekalan tidak terputus dan menyokong infrastruktur kritikal dan kerja-kerja kecemasan.

Bagaimanapun, hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan yang dibenarkan berada di pejabat manakala bagi pekerja di dalam kumpulan sokongan, jumlah pekerja yang diperlukan pada satu-satu masa akan ditentukan oleh majikan masing-masing.

Jumlah pekerja yang ditentukan mestilah mengambil kira pematuhan ketat SOP yang ditetapkan.

Jangan sampai tiada penjarakan fizikal langsung sewaktu berada di tempat kerja.

Mana-mana majikan yang melanggar SOP dan menyebabkan berlakunya penularan jangkitan COVID-19 di tempat kerja, tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang termasuk menutup premis berkenaan.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperincikan jenis-jenis perkhidmatan yang disenaraikan sebagai essential economic sector.

MITI dan Kementerian Kerja Raya juga akan memperincikan butiran kerja-kerja pembinaan yang dibenarkan beroperasi.

Bagi sektor atau perkhidmatan yang tidak disenaraikan sebagai essential services, arahan bekerja dari rumah atau work from home akan berkuatkuasa.

Semua majikan mesti mematuhi arahan ini untuk mengurangkan pergerakan di dalam komuniti, terutamanya di kawasan yang berkepadatan tinggi.

Hanya dengan langkah ini, kita dapat mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 di tempat kerja.

Sepanjang pelaksanaan PKP kedai makan dan gerai penjaja dibenarkan beroperasi HANYA untuk perkhidmatan take away manakala bagi kawasan PKP-B dan PKP-P, kedua-duanya dibenarkan beroperasi seperti biasa mengikut SOP yang telah ditetapkan.

Perkhidmatan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi.

Pasar raya, perkhidmatan kesihatan termasuk klinik, hospital dan farmasi; serta bank dibenarkan beroperasi di kawasan PKP pada tahap berjaga-jaga.

Patuhi SOP ketika berada di tempat-tempat ini seperti memakai pelitup muka dengan betul, jaga penjarakan fizikal dan kerap gunakan hand sanitizer.

Sekiranya tidak ada keperluan segera atau mendesak, tidak perlulah keluar rumah. Stay at home.

Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah memberikan jaminan bahawa bekalan di semua sektor peruncitan adalah mencukupi.

Pemantauan terhadap barangan keperluan pengguna seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, hand sanitizer dan pelitup muka akan dilakukan setiap hari.

Walaupun terdapat sekatan pergerakan yang ketat, khususnya di negeri dikenakan PKP, pengecualian diberikan kepada pelajar dan calon peperiksaan utama termasuk peperiksaan SPM bagi sesi 2020 dan 2021.

Mereka dibenarkan hadir ke sekolah dengan SOP yang ketat. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia akan memperincikan SOP ini.

Bagi aktiviti keagamaan, hanya ahli jawatankuasa masjid atau rumah ibadat dibenarkan hadir di negeri yang dilaksanakan PKP dengan jumlah maksimum 5 orang.

Bagi negeri yang dikenakan PKP-P dan PKP-B, aktiviti keagamaan masih dibenarkan dengan bilangan kehadiran minimum yang ditetapkan di dalam SOP.

Pihak berkuasa agama negeri disaran untuk memberi penetapan yang bersesuaian dalam menetapkan jumlah kehadiran yang dibenarkan.

Perdana Menteri juga sedar bahawa pengasingan diri untuk satu tempoh yang lama boleh memberi tekanan terhadap kesihatan mental.

Justeru bagi memastikan kesihatan minda dan fizikal yang berterusan, anda dibenarkan meninggalkan rumah untuk beriadah dengan anggota isi rumah sahaja.

Pastikan jarak anda dari orang lain adalah dua (2) meter setiap masa. Kalau hendak berjogging, jangan lebih daripada dua (2) orang dan kalau berbasikal, janganlah secara berkumpulan. Cukuplah seorang sahaja.

Tempoh dua minggu yang akan datang ini amatlah penting untuk bukan sahaja diri kita tetapi juga seluruh Negara.

Semua kebebasan yang kita korbankan ini – terputus hubungan dengan rakan-rakan, berada di dalam isolasi di rumah, dan kesukaran untuk melakukan aktiviti social di luar – akan mampu menyelamatkan nyawa kita semua.

Virus ini telah pun berada di dalam komuniti dan hidup bersama kita.

Janganlah kita merasa terlalu selesa dan akhirnya mengabaikan langkah-langkah pencegahan yang begitu mudah untuk kita amalkan seperti kerap mencuci tangan dengan sabun, memakai pelitup muka dengan betul, jaga jarak fizikal dan elakkan dari bersentuhan.

“Saya ingin mengajak pemimpin-pemimpin masyarakat atau community leaders untuk menjaga dan melindungi komuniti masing-masing daripada menjadi tempat penularan jangkitan COVID-19.

“Anda semua adalah frontliners di dalam komuniti anda dalam perjuangan melawan virus ini.

“Jalinkan kerjasama dengan pejabat kesihatan daerah, klnik-klinik kesihatan komuniti dan juga majlis daerah untuk mendidik warga komuniti anda supaya mereka juga tahu bagaimana cara terbaik untuk mencegah jangkitan COVID-19 ini,” kata Muhyiddin lagi.

Sebagai bukti komitmen kerajaan untuk memperkasakan komuniti, satu jawatankuasa peringkat tinggi yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara dan Menteri Tugas-Tugas Khas telah dibentuk untuk memastikan pelaksanaan langkah pemerkasaan komuniti dengan lebih berkesan.

Anggaplah bahawa virus tersebut berada di dalam diri kita agar kita sentiasa berwaspada dan tidak leka dalam mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Kita bergelak ketawa di luar bersama rakan dan keluarga, tetapi kita sering lupa segala SOP dan petugas-petugas kesihatan kita yang bertungkus-lumus, mengorbankan masa bersama keluarga dan mengeluh bersendirian untuk mengawal penularan jangkitan COVID-19 ini.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengumumkan bahawa Kajian Klinikal Fasa 3 vaksin COVID-19 akan bermula pada 21 Januari 2021 di sembilan (9) buah Hospital KKM di bawah kelolaan Pusat Kajian Klinikal (Clinical Research Centre – CRC) masing-masing,” ujar Perdana Menteri.

Kajian klinikal yang pertama dilakukan di Malaysia ini dijangka akan melibatkan seramai 3,000 sukarelawan dan Malaysia bakal menjadi negara pertama di luar negara China untuk kajian calon vaksin inactivated COVID-19 vaccine buatan Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences, China (IMBCAMS) ini. Kesemua keperluan regulatori termasuk kelulusan etika dari Medical Review & Ethics Committee (MREC) dan akhir sekali, Clinical Trial Import License (CTIL) dari NPRA telah diperolehi pada 8 Januari 2021.

Selain itu, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah meluluskan pendaftaran vaksin COVID-19 yang dihasilkan syarikat farmaseutikal, Pfizer.

Justeru, Malaysia dijangka akan menerima bekalan vaksin Pfizer untuk fasa pertama pada hujung Februari ini insya’Allah.

Sebagai persediaan awal bagi memastikan pengagihan vaksin COVID-19 kepada rakyat Negara ini berjalan lancar apabila bekalan diperolehi, KKM telah membangunkan Pelan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Bagi mencapai imuniti kelompok, sebanyak 60-70 peratus atau 20-23 juta populasi Malaysia perlu dberikan vaksin COVID-19.

Buat masa ini, kerajaan telahpun menandatangani perjanjian awal dengan fasiliti Covax, syarikat Pfizer dan AstraZeneca bagi perolehan vaksin COVID-19 untuk mendapatkan jaminan bekalan vaksin sebanyak 40 peratus liputan populasi.

Kerajaan juga sedang dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan jaminan bekalan vaksin bertambah melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta.

Kerajaan akan pastikan hanya vaksin yang memenuhi ciri-ciri keselamatan, berkualiti dan berkesan akan didaftarkan dan digunakan di Malaysia.

Proses penilaian ini dibuat oleh Jawatankuasa Penilaian Produk Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk kelulusan dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah bagi tujuan pendaftaran sebelum vaksin COVID-19 tersebut boleh digunakan di Malaysia. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close