Kerajaan wajar memberi pencerahan lebih terperinci mengenai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dijangka diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Amanat Perdana Menteri Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19, Jumaat ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Dr Adnan Mat, berkata pihaknya berharap Perdana Menteri dapat memperincikan mengenai kenaikan gaji melalui SSPA antara 15 hingga 42.7 peratus.
“Peratusan kenaikan gaji berkenaan sebelum ini telah dimaklumkan oleh Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil dan perincian mengenai mekanisme pelarasan gaji penjawat awam itu dijangka disentuh oleh Perdana Menteri pada hari penganjuran MAPPA berkenaan.
“Pada hari terbabit, kami berharap supaya akan ada pencerahan kepada kumpulan yang akan mendapat kenaikan gaji berkenaan,” katanya kepada media, di sini hari ini.
“CUEPACS juga berharap semua Kerajaan Negeri dapat mengikuti langkah menaikkan gaji penjawat awam seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan melalui pelaksanaan SSPA yang baharu.
Adnan menegaskan CUEPACS tidak melihat perkara berkenaan sebagai suatu masalah kepada Kerajaan Negeri dalam melaksanakan SSPA baharu terbabit.
“Orang ramai juga disaran untuk tidak menjadikan kenaikan gaji penjawat awam sebagai isu yang perlu dibahaskan secara berterusan serta menjadikan ia sebagai bahan sindiran.
“CUEPACS yakin anggota perkhidmatan awam akan terus kekal memberikan yang terbaik kepada sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
“Penjawat awam layak menerima kenaikan gaji melalui SSPA baharu berkenaan berdasarkan khidmat bakti kepada rakyat dan negara yang telah terbukti sebelum ini,” katanya.
Beliau menegaskan adalah tidak wajar untuk mengaitkan faktor kenaikan harga barang dengan kenaikan gaji dalam perkhidmatan awam.
“Akan ada sesetengah pihak yang akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga tanpa sebarang sebab yang munasabah, tetapi CUEPACS yakin pihak berkuasa akan melakukan penguatkuasaan secara berterusan bagi mengelakkan peniaga yang tidak beretika ini mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan sesuka hati,” katanya.
Semalam, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan berita baik menanti kira-kira 1.6 juta penjawat awam pada perhimpunan MAPPA ke-19 Jumaat ini.
Biarpun beliau tidak mendedahkan intipati majlis amanat itu, ia dipercayai berkaitan pelarasan gaji penjawat awam yang akan diumumkan serentak dengan pelancaran SSPA. – BH ONLINE