GovernansPilihan Editor

MPOCC Pastikan Industri Sawit Terus Relevan Melalui MSPO Sebagai Instrumen Menjenamakan Minyak Sawit Malaysia – Pengerusi

oleh wartawan BacalahMalaysia.my

 

Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) akan memastikan industri sawit terus relevan melalui pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia atau Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) yang boleh dikatakan salah satu instrumen penting dalam menjenamakan minyak sawit Malaysia sebagai pilihan utama dalam pasaran antarabangsa.

Dengan trend semasa ini, Pengerusi MPOCC, Muhtar Suhaili berkeyakinan penuh bahawa industri sawit terus mempunyai masa depan yang cerah.

Harga Minyak Sawit Mentah (CPO) terus memulih dan kini mencecah RM2,400 satu tan.

Ini lebih tinggi berbanding RM2,299 dan RM2,074 harga purata masing-masing bagi bulan April dan Mei yang terkesan akibat pandemic COVID-19.

Harga buah tandan sawit segar (FFB) juga telah meningkat dengan Gred A berharga antara RM476-RM495 satu tan berbanding antara RM404-RM419 pada awal Mei 2020.

Inisiatif Kerajaan sebagaimana diumumkan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada 5 Jun 2020 lalu juga memberi berita gembira kepada industri sawit secara keseluruhannya.

Kerajaan akan memberi pengecualian 100 peratus duti eksport ke atas minyak sawit mentah, minyak isirong sawit mentah dan minyak isirong sawit yang diproses mulai 1 Julai 2020 hingga 31 Dis 2020 seperti mana Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan bahawa pengecualian penuh duti eksport ini dibuat bagi mendorong sektor komoditi.

Dalam hal itu, kata Muhtar, niaga hadapan minyak sawit terus melonjak dengan peningkatan keyakinan bahawa negara pengguna utama seperti India, China dan Pakistan akan meningkatkan pembelian selepas tertangguh akibat penularan pandemik COVID-19.

“Kenaikan harga minyak sawit juga disokong oleh pemulihan harga minyak mentah, yang meningkatkan daya tarikan biofuel.

“Tahniah kepada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di atas berita gembira sebelum ini bila India memperbaharui pembelian komoditi sawit sekaligus menstabilkan harga.

“Saya percaya menerusi hala tuju Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang menyasarkan untuk memperluaskan produk sawit ke pasaran baharu termasuk Afrika dan Asia Barat memberi ruang pasaran antarabangsa yang lebih meluas,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini.

Selaras dengan kenyataan Menteri, Kementerian menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang akan membuat kajian menyeluruh kekuatan pasaran Afrika dan Asia Barat dalam masa terdekat, menurut Muhtar, MPOCC akan pastikan industri sawit terus relevan melalui pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia atau Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO).

“MSPO boleh dikatakan salah satu instrumen penting dalam menjenamakan minyak sawit Malaysia sebagai pilihan utama dalam pasaran antarabangsa,” jelas Muhtar lagi.

MSPO mula dilancarkan sejak 2015. Antara prinsip utama yang diketengahkan adalah pengurusan penanaman kelapa sawit melalui amalan pertanian terbaik selari dengan undang-undang negara.

Kelebihan MSPO adalah ia akan memanfaatkan dan melonjakkan industri itu sendiri sekali gus menjadikan minyak sawit Malaysia sebagai pilihan utama di peringkat antarabangsa.

MSPO adalah skim pensijilan yang dibangunkan kerajaan bagi memastikan pemain industri termasuk pekebun kecil sawit mematuhi keperluan digariskan untuk menghasilkan minyak sawit mampan.

Pensijilan MSPO juga dapat meningkatkan kesedaran mengenai perlindungan alam sekitar.

Sehingga 4 Jun 2020, statistik terkini menunjukkan 82.28% ladang kelapa sawit dan 88% kilang kelapa sawit di seluruh negara kini mempunyai sijil MSPO. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close