Pengasas Famous Amos, biskut coklat tersohor dunia, Wally Amos, meninggal dunia pada usia 88 tahun, menurut kenyatan anaknya yang menyebut punca kematian disebabkan komplikasi demensia.
“Dia adalah wira asli Amerika Kulit Hitam yang sebenar.
“Dengan topi Panama, kazoo (sejenis alat muzik), dan keyakinan yang tidak terbatas, Famous Amos adalah kisah kejayaan Amerika Syarikat (AS) yang hebat.
“Ini sumber kebanggaan orang kulit hitam,” kata kenyataan itu, yang ditandatangani oleh Sarah, Michael, Gregory dan Shawn Amos.
Dalam wawancara Detroit Black Journal 1991, Amos yang dilahirkan di Tallahassee, Florida, mengakui dia bukan sekadar terkenal dalam perniagaan.
“Saya mula membuat biskut hanya untuk mencari rezeki dan gembira melakukan apa yang saya lakukan. Saya sangat komited dan sangat gembira mengenainya,” kata Amos dalam temu bual itu.
Dia kemudiannya mencipta empayar biskut.
“Saya tidak berkata ‘hei, saya akan menjalankan perniagaan biskut, buat banyak wang dengan menjual biskut’.
“Sebaliknya, saya berkata, ‘lakukan sesuatu yang saya suka dengan cara yang saya mahu melakukannya’ dan saya akan berseronok melakukannya,” kata Amos dalam temu bual itu.
Amos juga seorang tokoh dalam budaya pop AS dan terkenal sebagai cameo dalam sitkom ‘The Office’ dan sebelum itu, dia juga muncul di siri ‘The Jeffersons’ dan ‘Taxi’.
Amos menjual jenama biskut itu kepada kumpulan ekuiti persendirian pada 1988 selepas bertahun-tahun syarikatnya bergelut dengan masalah kewangan.
CNN turut menghubungi keluarga Amos dan Ferrero, pemilik semasa Famous Amos Cookies, dan masih menunggu untuk mendapatkan komen. – AGENSI