MalaysiaPilihan Editor

Kertas Putih Kesihatan Dibentang Di Parlimen Bulan Depan

Kertas Putih Kesihatan (KPK) yang menggariskan empat tonggak dan 15 strategi reformasi kesihatan akan dibentang pada persidangan Dewan Rakyat kali ini, iaitu selepas ia dikemuka ke pengetahuan Kabinet minggu depan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata KPK yang membabitkan perancangan berfasa bagi jangka pendek, sederhana dan panjang, akan menyentuh pelbagai isu termasuk soal fasiliti dan penjagaan di sektor kesihatan awam, pendigitalan sistem penyampaian kesihatan, isu doktor kontrak, skim pekerjaan dan perjawatan serta banyak lagi.

“Kita akan bentangkan Kertas Putih Kesihatan kepada Jemaah Menteri dan kemudian bawa ke Parlimen. Kita juga sudah adakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menteri lain.

“Terakhir sekali, baru kita bentang ke Parlimen. Kita sudah dapat persetujuan Setiausaha Parlimen untuk bentang pada persidangan Jun ini,” katanya pada sesi taklimat KPK antara Menteri Kesihatan bersama media di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini, hari ini.

Beliau berkata, biarpun KPK dibentang ke Parlimen bulan depan, namun program libat urus masih berterusan dan langkah permulaan ke arah pelaksanaan gerak kerja menyeluruh KPK juga sudah pun berjalan.

“Sebab empat tonggak dalam KPK ini tak berdiri sendiri dan saling berhubungan. Dalam sistem perkhidmatan kita sekarang, contohnya sistem penyampaian sudah dilaksanakan tapi perlu ditambah baik. Kita juga terima pendigitalan kesihatan.

“Sebab itu dari segi jangka masa, kita bahagikan kepada tiga keadaan iaitu jangka pendek, apa yang perlu dicapai, jangka masa sederhana dan jangka masa panjang. Kita harap lepas 15 tahun kita akan capai semuanya,” katanya.

KKM sebelum ini memaklumkan dokumen KPK akan dihebahkan kepada umum selepas dipersetujui di Parlimen kelak menerusi pelbagai platform.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, KPK juga menumpukan kepada penyelesaian segera mengenai isu kesihatan termasuk menaik taraf hospital dan fasiliti kesihatan yang daif.

“Kalau kita lihat empat tonggak KPK, ada antara yang kita boleh laksanakan dengan cepat, sementara yang lain mungkin memerlukan kepada perubahan akta, itu akan ambil masa lama.

“Contoh penyelesaian segera seperti fasiliti daif, itu perkara yang mahu kita tangani. Kita lihat juga, apabila KKM bina hospital baharu, dia tak boleh bina (bangunan) saja, tapi termasuk fasiliti, peralatan dan sebagainya.

“Kekangan yang kita hadapi adalah kewangan. Sebab itu, buat masa ini, kita memutuskan untuk memberi perhatian kepada baik pulih (fasiliti daif). Itulah yang Perdana Menteri sebut supaya 400 fasiliti daif ini diberi keutamaan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata, dalam menjayakan KPK juga, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terutama dalam pelaksanaan program kesedaran kesihatan serta perkhidmatan ambulans khususnya di luar bandar. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close