GovernansPilihan Editor

Kerajaan Hilang RM2 Bilion Angkara Pempengaruh, Usahawan Digital Culas Bayar Cukai

Kerajaan berpotensi kehilangan sehingga RM2 bilion setiap tahun berikutan masih ada pempengaruh dan usahawan digital yang culas membayar cukai pendapatan meskipun meraih pendapatan lumayan menerusi platform maya.

Setiausaha Agung Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Dr Mohd Fairuz A Razak, berkata jumlah berkenaan tidak mustahil memandangkan sejak pandemik COVID-19 melanda dunia, model perniagaan inovatif berkenaan memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi.

Katanya, perkembangan positif dalam perniagaan maya, termasuk pekerjaan sebagai pempengaruh turut disokong peralihan dalam tabiat membeli-belah rakyat yang kini lebih memilih pembelian secara dalam talian.

Ini kerana pembelian dalam talian lebih mudah, cepat, kos lebih rendah dan mengurangkan pergerakan fizikal berbanding cara konvensional.

“Ia belum termasuk lagi pempengaruh yang meraih pendapatan lumayan menerusi media sosial,” katanya kepada BH.

Menurut agensi percukaian itu, pemantauan dibuat menerusi Seksyen Audit Ekonomi Digital, unit khas yang ditubuhkan baru-baru ini khusus untuk memantau aktiviti pempengaruh dan usahawan digital yang didakwa hidup mewah tetapi tidak membayar cukai.

Antara yang dipantau LHDN adalah aktiviti perniagaan pengasas produk kosmetik, peniaga mata wang asing, mata wang kripto, emas, pempengaruh, Tiktoker, Instafamous, YouTuber dan pekerja ekonomi gig.

Sebelum ini, ada banyak dakwaan dan laporan media mengenai pempengaruh dan usahawan dalam talian yang dikatakan suka menunjukkan kemewahan, namun bukan semua membayar cukai.

Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Ranjeet Kaur dipetik sebagai berkata, melalui aktiviti pemantauan secara harian itu, pihaknya yakin dapat mengenal pasti pempengaruh dan usahawan digital yang tidak patuh kepada undang-undang percukaian.

LHDN juga melaksanakan inisiatif dikenali ‘nudging’, yang mana Seksyen Audit Ekonomi Digital akan memberi peringatan berhubung tanggungjawab pembayar cukai di ruangan komen media sosial milik pempengaruh dan usahawan digital yang dikenal pasti ‘lari’ daripada membayar cukai.

Agensi percukaian negara itu juga menganjurkan pelbagai aktiviti untuk memberi pendedahan dan kesedaran berkenaan kepentingan cukai kepada negara.

Mengulas lanjut, Mohd Fairuz berkata, penguatkuasaan percukaian negara berada di tahap yang tinggi kerana setiap pembaharuan dilaksanakan mengikut cadangan dan rangka kerja Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

“Kita juga tahu ramai individu mahupun peniaga yang mengeluh apabila sering diaudit atau terdapat sekatan perjalanan ke luar negara. Sungguhpun begitu, masih ramai culas membayar cukai kerana pada pemikiran mereka, banyak pembaziran dalam perbelanjaan kerajaan dan stigma untuk melaporkan cukai kerana takut.

“Selain itu, ada yang tidak mempunyai maklumat lengkap tentang percukaian dan hanya mendengar khabar angin daripada orang yang tidak berpengetahuan mengenai cukai,” katanya.

Beliau berkata, Rangka Kerja Pungutan Cukai (RKPC) 2021 LHDN dilihat sudah lengkap, namun ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa berdasarkan peredaran teknologi.

“Tambah baik akan dilakukan, sebagai contoh dengan pengenalan sistem ‘mytax’ yang menjadi gerbang percukaian negara, e-invois yang akan dilaksanakan dan tidak dilupakan, nombor pengenalan cukai (TIN) bagi pembayar cukai yang sudah berumur 18 tahun ke atas,” katanya.

Mengenai pendekatan yang boleh dilaksanakan perniagaan digital, Mohd Fairuz berkata, ‘tax at source’ menjadi kaedah paling mudah untuk sebarang perniagaan kerana semua pelaporan boleh dilakukan secara ‘real time’.

“Saya lihat faktor manusia masih lagi menjadi elemen penting jika kita ingin melaksanakan sesuatu kaedah percukaian. Sistem digital mampu membantu Malaysia urus cukai dengan lebih cekap, namun ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang timbul walaupun negara mempunyai sistem cukai baik,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close