Duniaku TeknokratMalaysiaPilihan Editor

GLC, MNC, Yayasan & Wakil Rakyat Sila Bersolidariti Tingkat Kesejahteraan Rakyat Termasuk Selesai Isu PdPR – Kaukus Dewan Negara

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

 

Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menggesa Syarikat Milik Kerajaan (GLC), Syarikat Multi Nasional (MNC), badan-badan Yayasan dan seluruh Wakil Rakyat menunjukkan solidariti dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat !

Ini termasuklah menyelesaikan isu komunikasi internet serta permasalahan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang terkesan kepada pelajar, ibu bapa, guru dan sekolah di seluruh negara !

Isu PdPR telah mencetuskan satu fenomena nasional hampir seminggu lalu disebabkan ketidaksamarataan akses internet, kekurangan peranti teknologi untuk murid dan guru serta membebankan ibu bapa terutama mereka di bawah kelompok B40 dan M40 yang telah kehilangan pekerjaan dan terjejas punca pendapatan sejak penularan pandemik COVID-19.

Ketegasan ini disuarakan Pengerusi Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris yang memohon GLC dan MNC berkaitan telekomunikasi menunjukkan sikap solidariti dengan memberi pakej internet dan telefon pintar dengan harga patut serta kepenggunaan yang disesuaikan dengan PdPR dan pemberian data tanpa had bagi sistem capaian internet.

Pada waktu sama, menurut beliau, kewujudan lambakan badan-badan Yayasan dalam negara ini serta seluruh Wakil Rakyat perlu berketrampilan membantu kumpulan bersasar ini yang mendepani permasalahan PdPR dan isu yang sangat serius dalam capaian internet.

“Sepatutnya syarikat gergasi dan pertubuhan yang besar seperti GLC, MNC dan badan-badan Yayasan tampil secara lebih proaktif dan bukannya responsif dalam amalan tanggungjawab sosial korporat (CSR),” kata Razali yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia.

Dalam kenyataan media di sini, hari ini, menurut Razali, Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu menyegerakan pembinaan Menara Telekomunikasi termasuk melipatgandakan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

“Kementerian (Komunikasi dan Multimedia) hendaklah memobilisasikan logistik dan kenderaan pembekalan internet ke kawasan capaian internet yang ketidaksamarataan ini agar dapat membekalkan akses internet berkelajuan tinggi dan mampu milik dapat dinikmati rakyat,” katanya.

Di samping itu, Kementerian Pendidikan juga digesa menyegerakan senarai atau data dalam mengenal pasti pelajar yang tiada peranti teknologi menerusi pangkalan data sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Dalam tempoh hampir seminggu ini, sepatutnya Jabatan Pendidikan Daerah dan Pendidikan Negeri sudah mencapai solusi mengatasi permasalahan PdPR dalam kalangan pelajar dan guru.

Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara juga telah berjumpa dan berbincang dengan beberapa PIBG dan badan bukan kerajaan (NGO) berteraskan pendidikan bagi mengenal pasti solusi terbaik dalam isu PdPR, capaian internet dan kepenggunaan peranti teknologi.

“Saya juga difahamkan bahawa menerusi Dapatan Kajian Kesediaan Murid dalam Pembelajaran Secara dalam Talian (Online Learning), Kementerian Pendidikan telah mendapati lebih 30 peratus atau membabitkan kira-kira 280,000 pelajar tidak mempunyai peranti bagi membolehkan mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian,” ujar Razali.

Dapatan kajian yang merangkumi 670,118 responden terdiri daripada ibu bapa kepada 893,331 pelajar turut menunjukkan enam peratus pelajar memiliki komputer peribadi, 9.3 peratus pelajar memiliki komputer riba, 5.8 peratus pelajar memiliki tablet dan 46.5 peratus pelajar memiliki telefon pintar.

Ini adalah dapatan kajian pertengahan tahun 2020 yang sepatutnya Kementerian Pendidikan telah bersedia lebih awal dalam mengendalikan krisis komunikasi pendidikan bagi pandemik COVID-19 di negara ini.

Dalam hal ini, Razali juga beranggapan kerajaan harus dipuji kerana telah melaksanakan pelbagai usaha yang hebat menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) serta Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), namun semua pihak perlu menunjukkan solidariti atau kebersamaan dalam membantu memulihkan kesejahteraan rakyat secara tuntas.

Walaupun Kerajaan telah melanjutkan semula pelepasan cukai khas sehingga RM2,500 ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet sehingga 31 Disember 2021 serta tempoh capaian internet percuma sebanyak 1 Gigabit untuk melayari laman web termasuk tujuan pendidikan selain pakej langganan khas untuk pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sehingga hujung April 2021, usaha-usaha murni ini perlu dipuji jua kepada industri telekomunikasi yang akan dapat meringankan beban rakyat.

Secara keseluruhannya, Razali berpandangan cabaran PdPR dalam pendidikan negara perlu ditangani sebaiknya kerana ia boleh mempengaruhi prospek hidup dan mobiliti sosial jangka masa panjang.

“Kehilangan punca pendapatan keluarga boleh meningkatkan kadar keciciran pelajar sekolah.

“Tekanan ekonomi berpanjangan juga boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan fizikal dan mental anak sama melalui pengaruh kesihatan mental ibu bapa. Kesan krisis juga boleh dirasai pelajar selepas keadaan kembali pulih,” katanya.

Kajian di beberapa negara mendapati belia memasuki pasaran buruh selepas krisis kewangan global menghadapi kebarangkalian lebih tinggi untuk mendapat pekerjaan bergaji rendah, menganggur lebih lama dan menikmati kemajuan kerjaya lebih perlahan berbanding ketika keadaan ekonomi lebih stabil.

Walaupun tidak ada kajian serupa di Malaysia, trend mobiliti sosial semasa agak membimbangkan dan menerusi Kajian Khazanah Research Institute (KRI) mendapati walaupun generasi sekarang umumnya mempunyai taraf hidup lebih tinggi, mobiliti sosial dilihat semakin perlahan lantaran pertumbuhan ekonomi semakin lemah, persaingan lebih tinggi di pasaran buruh dan premium pendidikan, terutama daripada pendidikan tinggi yang semakin menyusut.

Sehubungan itu, satu usaha melipatgandakan penggunaan teknologi dan merapatkan jurang digital antara segenap lapisan masyarakat perlu dilakukan dengan segera.

Sekiranya tidak, kesan jangka panjang akan meluaskan jurang ketidaksamaan dan menyebabkan lebih ramai anak tercicir.

Kata Razali, isu serius seperti PdPR, tahap capaian internet dalam negara serta sistem pendidikan negara perlu diperkasakan atau dirombak semula menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dengan menjadikan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa serta memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close