GovernansMalaysiaPilihan Editor

KWSP Kemas Kini Dana Unit Amanah Di Bawah Skim Pelaburan Ahli

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan Senarai Kelayakan Institusi Pengurusan Dana (IPD) dan dana unit amanah yang layak ditawarkan di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP).

Bagi tempoh 2023/2024, sebanyak 299 dana daripada 18 IPD telah diluluskan di bawah SPA KWSP, yang mana 184 dana layak ditawarkan kepada ahli KWSP.

Daripada dana yang layak itu, sebanyak 149 dana atau 81 peratus adalah dana tempatan, dengan 104 dana atau 70 peratus adalah dana ekuiti.

Ketua Pegawai Pelaburan KWSP, Rohaya Mohammad Yusof, berkata buat pertama kali tahun ini, KWSP telah memasukkan dana unit amanah berasaskan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) ke dalam senarai sebagai antara komitmennya untuk menyokong pelaburan mampan serta mengarusperdanakan agenda kemampanan.

“Sebagai insentif untuk menggalakkan pelaburan ahli ke dalam dana berasaskan SRI, caj jualan dikurangkan untuk transaksi yang dibuat melalui platform dalam talian i-Invest KWSP daripada 0.5 peratus kepada 0 peratus; atau tidak lebih daripada 1.5 peratus  untuk transaksi melalui ejen,” katanya dalam satu kenyataan.

Kesemua 299 dana yang diluluskan di bawah SPA KWSP itu dinilai setiap tahun berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan oleh KWSP dan diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

Dua kriteria kelayakan untuk penilaian dana termasuk prestasi yang konsisten serta prestasi relatifnya berbanding penanda aras dana.

Ambang kelayakan yang ditetapkan untuk kriteria itu disemak dari semasa ke semasa untuk memastikan hanya dana dengan kualiti tertinggi disenaraikan.

Di bawah SPA KWSP, ahli diberi pilihan untuk melabur dengan IPD sehingga 30 peratus daripada lebihan jumlah simpanan di dalam Akaun 1 mereka.

Ia termasuk melabur dengan Syarikat Pengurusan Dana Amanah dan Syarikat Mandat Persendirian, bergantung kepada kelayakan berdasarkan Simpanan Asas.

Rohaya berkata, sejak pelancaran platform i-Invest pada 2019, lebih kurang RM2.15 bilion telah diurus niagakan sehingga Disember 2022.

Beliau berkata, KWSP menggalakkan ahli untuk memanfaatkan i-Invest kerana ia menyediakan caj jualan pendahuluan yang lebih rendah berbanding saluran lain, lebih fleksibiliti, fungsi dan memudahkan ahli untuk melabur, berurus niaga dan memantau dana pelaburan di dalam IPD.

“Ahli juga boleh mengakses maklumat lanjut mengenai kos pelaburan yang berkenaan dan sejarah prestasi dana. Ciri Penanda Aras Prestasi Dana dalam platform juga membolehkan ahli membandingkan prestasi dana terpilih dengan prestasi penanda aras prestasi dana mereka,” katanya.

Ahli KWSP disarankan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam membuat sebarang keputusan pelaburan dan mendapatkan maklumat yang betul serta nasihat profesional sebelum membuat keputusan atau transaksi.

Ahli boleh rujuk kepada Khidmat Nasihat Ahli KWSP di mana-mana cawangan KWSP seluruh negara sebelum menyertai SPA KWSP.

Walaupun KWSP telah meluluskan dana-dana itu, ia bukan cadangan atau pengesahan untuk ahli melabur ke dalam mana-mana dana tertentu.

Untuk senarai penuh dana unit amanah yang ditawarkan di bawah setiap IPD, ahli boleh merujuk kepada laman web KWSP di https://www.kwsp.gov.my/member/investment. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close