Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mendesak konsert Coldplay yang bakal berlangsung Rabu ini dibatalkan serta-merta kerana ia disifatkan melewati garis sempadan Islam sekali gus bertentangan dengan hukum syarak.
Katanya, dengan menggalak dan menyuburkan budaya tidak sihat boleh menggagalkan agenda pembentukan warganegara yang bertanggungjawab lagi bertamadun.
“PUM menegaskan bahawa hiburan dalam Islam mempunyai garis sempadannya yang perlu dipatuhi.
“Masyarakat dinasihatkan agar tidak memberi sokongan terhadap program sebegini kerana ia boleh mencemarkan minda umat Islam dengan hiburan melampau, bahkan berisiko terjajah dengan krisis identiti yang cuba dinormalisasi oleh beberapa pihak,” katanya.
“Harga tiket konsert yang ditempah menjadi galang ganti kepada kemusnahan, penindasan, dan genosid di Palestin khasnya di Semenanjung Gaza.
“Bukalah mata dan bangkitlah di saat saudara kita di Gaza sedang dibedil dan dibantai dengan penuh rakus dan sadis sementara sebahagian umat Islam masih hanyut dibuai mimpi dan kealpaan,” katanya.
Sebelum ini, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah turut menasihatkan orang ramai tidak memberi sokongan kepada penganjuran konsert berkenaan yang dikatakan jelas bertentangan nilai murni dan budaya di negara ini.
Katanya, penganjuran Konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur Rabu ini, disifatkan sebagai program melalaikan dan tidak memberi manfaat kepada masyarakat di negara ini. – BH ONLINE