MalaysiaPilihan Editor

Hari Bersama Komuniti NADI Ayer Kuning Pemangkin Aktiviti Berimpak Tinggi Kepada Komuniti Setempat

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

Program Hari Bersama Komuniti (HBK) dianjurkan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Air Kuning, Tapah, 13 April 2025 lalu menampilkan pelbagai aktiviti berimpak tinggi.

Antara aktivii berimpak tinggi itu adalah pameran lima teras Perkhidmatan Pintar NADI, pendaftaran ahli dan peserta baharu serta taklimat berkaitan keselamatan siber melalui Sesi Internet Selamat.

Selain itu, komuniti turut diberi peluang menyertai sesi bimbingan keusahawanan asas melalui program NADIpreneur dan EmpowHER, yang memberi fokus kepada pembangunan ekonomi mikro dan wanita.

Acara ini turut menyediakan saringan kesihatan percuma bagi meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan kesihatan awal dalam kalangan masyarakat setempat.

 

Salah satu pemangkin utama ialah Pameran dan Jualan Usahawan NADI, yang mengetengahkan produk dan perkhidmatan daripada usahawan tempatan NADI Air Kuning serta NADI PPR Sri Bidor. Platform ini bukan sahaja membantu memasarkan hasil usaha komuniti tempatan, malah membuka ruang jaringan ekonomi baharu lebih mampan.

Program yang dirasmikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil merupakan inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mempromosi Perkhidmatan Pintar NADI sebagai medium memperluas capaian internet, memperkukuh akses maklumat serta menyediakan latihan dan sokongan inklusif kepada komuniti luar bandar.

Atas usaha murni itu, NADI Ayer Kuning berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha memperkasa komuniti setempat melalui teknologi digital dan keusahawanan.

Menambahkan lagi nilai kepada program, HBK turut disertai pelbagai agensi lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Jualan Rahmah MADANI dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melalui Jualan Agro MADANI yang menawarkan barangan keperluan dan hasil pertanian segar pada harga berpatutan.

Menggabungkan elemen digital dan hiburan, program ini turut menganjurkan pertandingan e-Sukan persahabatan Mobile Legends antara komuniti NADI Air Kuning dan NADI PPR Sri Bidor – simbolik kepada keterangkuman generasi muda dalam pembangunan komuniti digital.

HBK membuktikan bahawa pendekatan digital bukan sahaja mampu memperkukuh akses kepada maklumat dan teknologi, malah menjadi pemangkin kepada transformasi sosial dan ekonomi luar bandar.  – BACALAHMALAYSIA.MY/BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close