MalaysiaPilihan Editor

Malaysia Kecewa Dengan Masyarakat Antarabangsa – Muhyiddin

Malaysia dukacita dan kesal dengan masyarakat antarabangsa, termasuk Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang tidak mampu menghentikan keganasan rejim Israel ke atas Palestin.

Sungguhpun begitu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Malaysia akan terus berusaha menyeru komuniti antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB bertindak segera, bagi memaksa Israel menghentikan serangan terhadap rakyat Palestin.

“Sehingga kini, Majlis Keselamatan PBB belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung situasi terkini di Palestin lantaran bangkangan daripada Amerika Syarikat.

“Saya ingin mengulangi pendirian berprinsip kerajaan Malaysia yang sentiasa konsisten memberi sokongan padu kepada Palestin dan perjuangan rakyatnya sama ada dari segi politik, ekonomi, dan moral,” katanya melalui perutusan khas mengenai Palestin, hari ini.

 

Penduduk Palestin azan di atas runtuhan masjid Qlebo dalam kem Jabalia utara Semenanjung Gaza, selepas serangan udara Israel malam tadi. - Foto AFP
Penduduk Palestin azan di atas runtuhan masjid Qlebo dalam kem Jabalia utara Semenanjung Gaza, selepas serangan udara Israel malam tadi. – Foto AFP

 

Muhyiddin berkata, serangan Israel ke atas Palestin tindakan yang mencabuli undang-undang antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949.

“Saya percaya, rakyat Malaysia yang cintakan keamanan berpegang teguh kepada pendirian bahawa tiada alasan kukuh bagi penggunaan kekerasan yang dilakukan secara tidak seimbang, sembarangan dan melampau ke atas Palestin dan menolak sekeras-kerasnya tindakan keji rejim Israel ke atas rakyat Palestin,” katanya.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, penyelesaian terbaik kepada konflik Palestin-Israel hanya boleh dicapai melalui rundingan bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau yang berkekalan.

Katanya, Malaysia menyokong penyelesaian adil dan saksama melalui Penyelesaian Dua Negara atau ‘Two-State Solution’ berdasarkan garis sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin sebagai satu-satunya jalan penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel.

“Malaysia akan terus menyokong segala usaha demi mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan, khususnya menerusi rundingan melibatkan pihak-pihak yang berkaitan, berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa serta resolusi-resolusi PBB yang berkaitan,” katanya.

 

Masjid Omar Ibn Al-Khattab di Foz do Iguacu, Negeri Parana, Brazil, menggesa pihak berkuasa menghentikan ketegangan di Palestin. - Foto AFP
Masjid Omar Ibn Al-Khattab di Foz do Iguacu, Negeri Parana, Brazil, menggesa pihak berkuasa menghentikan ketegangan di Palestin. – Foto AFP

 

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan Mesyuarat Tergempar Terbuka secara maya Jawatankuasa Eksekutif OIC di peringkat Menteri-menteri Luar untuk membincangkan perkembangan terkini di Palestin yang dijangka akan berlangsung esok.

“Kerajaan Malaysia akan diwakili oleh Menteri Luar Negeri (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) untuk menyertai mesyuarat berkenaan bagi menegaskan pendirian Malaysia terhadap situasi di Palestin,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close