Dimensi BisnesPilihan Editor

BACALAH AUTO: Suzuki Jimny Dibawa Masuk Ogos

NAZA Automotive Group akan membawa masuk model ikonik Suzuki, Suzuki Jimny ke pasaran Malaysia pada Ogos ini, model keduanya selepas pelancaran Suzuki Swift Sport bulan lalu.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Nik Hamdam Nik Hassan, berkata model Jimny yang akan dibawa masuk nanti ialah daripada varian paling premium dan ‘high end’.

“Seperti kita tahu, Jimny ialah jenama ikonik dunia, malah kami sudah menerima hampir 20 tempahan daripada pelanggan yang berminat untuk mendapatkan model ini, biarpun belum mengumumkan apa-apa lagi berita mengenainya.

“Kami tidak menolak bayaran tempahan daripada pelanggan biarpun belum mempunyai kata putus mengenai bila model ini akan dibawa masuk pada awalnya, tetapi kini saya boleh katakan benar, Jimny akan dibawa masuk ke sini secara diimport sepenuhnya (CBU) dari kilang di Jepun.

“Malah, nisbah tempahan yang kami terima di antara Jimny dan Swift Sport ialah 3:1, menunjukkan model ini menjadi pilihan ramai pelanggan di sini,” katanya pada temu bual bersama BH dan New Straits Times, baru-baru ini.

NAZA Automotive menerusi Naza Eastern Motors Sdn Bhd awal bulan lalu mengumumkan pelantikannya sebagai pengedar dan penyedia perkhidmatan selepas jualan Suzuki.

Syarikat itu kemudian melancarkan model pertama Suzuki untuk pasaran tempatan iaitu Suzuki Swift Sport pada 10 April lalu.

Ditanya mengapa Naza memilih untuk membawa masuk model Swift Sport yang harganya agak tinggi untuk pasaran massa tempatan, Nik Hamdam berkata, keputusan itu dibuat selepas melakukan kajian agak lama bersama Suzuki mengenai pasaran Malaysia.

“Secara asasnya, jika anda lihat pada Swift Sport, ia adalah dalam segmen kompak hot hatch yang boleh dikatakan tiada pesaing di Malaysia.

“Sebelum ini, terdapat model seperti Peugeot 208 GTi, Volkswagen Scirocco, Renault Clio Sport, namun kini semua sudah tiada di Malaysia.

“Maka, kami melihat terdapat ruang kosong dalam segmen ini yang masih tidak terisi.

“Selain itu, jika ada model paling hampir dengan Swift Sport ialah Mini Cooper, namun harganya sekali ganda. Maka, kami merasakan ini waktu sesuai untuk membawa masuk model ini ke dalam segmen yang dilihat sudah dilupakan di Malaysia,” katanya.

Ditanya sama ada Naza akan membawa masuk model Suzuki Swift daripada varian biasa, Nik Hamdam berkata, ia termasuk dalam perancangan dan menyasarkan untuk melakukannya tahun depan.

“Kami bercadang mengimportnya dari Thailand kerana kilang Suzuki di sana ada mengeluarkan model Swift yang biasa khusus untuk pasaran massa.

“Perkara ini sedang dikaji dan dibincangkan dengan syarikat Suzuki untuk direalisasikan nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Hamdam berkata, syarikat turut merancang menambah lebih banyak rangkaian pengedaran Suzuki di beberapa bandar utama seperti Johor Bahru, Kuantan, Pulau Pinang, Melaka dan juga tambahan satu atau dua lagi cawangan pengedar di Lembah Klang.

“Ini untuk memberi lebih ramai pelanggan peluang uji pandu dan servis kereta Suzuki. Rancangan pengembangan rangkaian pengedar ini akan dibuat pada suku ketiga atau keempat tahun ini,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close