Governans

Malaysia Pastikan Pensijilan MYSPO Penuhi Perundangan EUDR, Elak Sawit Terus Didiskriminasi – Johari Ghani

Kementerian Perladangan dan Komoditi melaksanakan pelbagai usaha bagi meyakinkan serta memastikan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MYSPO) dapat memenuhi perundangan Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) .

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata ia supaya minyak sawit Malaysia tidak didiskriminasi di pasaran Eropah dan juga dunia.

Beliau berkata, antara usaha dilakukan termasuklah penubuhan Pasukan Petugas Bersama (Ad Hoc JTF) berkaitan EUDR dengan kerjasama bersama Indonesia, Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) dan Suruhanjaya Eropah.

“Melalui platform ini, pihak EU (Kesatuan Eropah) bersetuju untuk membantu menangani kekangan dihadapi Malaysia dan Indonesia dalam memenuhi keperluan EUDR.

“Ia merangkumi isu penglibatan pekebun kecil dalam rantaian bekalan, skim pensijilan nasional yang berkaitan, kebolehjejakan daripada pengeluar kepada pengguna akhir, data saintifik mengenai penyahhutanan serta degradasi hutan dan perlindungan data peribadi,” katanya melalui jawapan bertulis di Parlimen.

Mengulas lanjut, Johari berkata, melalui platform ini juga MSPO bekerjasama dengan European Forest Institute (EFI) bagi menjalankan kajian analisis jurang perbezaan di antara skim pensijilan MSPO dengan perundangan EUDR.

Katanya, hasil kajian awal menunjukkan MYSPO berpotensi besar untuk memenuhi keperluan peraturan EUDR.

“Ini kerana Malaysia telah menyemak semula piawaian MSPO 2.0 agar selari dengan norma antarabangsa supaya dapat meningkatkan kredibiliti dan mengembangkan skop lebih luas untuk pengiktirafan daripada pasaran global,” katanya.

Menurutnya, MYSPO 2.0 juga ditambah baik dengan kemasukan beberapa elemen membabitkan isu sosial dan amalan pertanian baik.

“Ia seperti Penilaian Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCV), Penilaian Kesan Sosial (SIA), kuantifikasi pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan penetapan tarikh akhir pada 31 Disember 2019 bagi penebangan hutan asli, kawasan yang dilindungi dan kawasan HCV untuk penanaman sawit,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close