GovernansMalaysiaPilihan Editor

Malaysia Tidak Akan Alami Situasi Hiperinflasi, Stagflasi – Gabenor Bank Negara

Pelbagai langkah dilaksanakan oleh kerajaan dan bank pusat dapat mengelak Malaysia daripada mengalami inflasi yang terlalu tinggi, tegas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Ia juga akan mengelakkan Malaysia daripada berdepan dengan fenomena hiperinflasi dan kemungkinan untuk negara berdepan situasi stagflasi juga adalah sangat kecil.

Hiperinflasi adalah fenomena melampau, apabila kadar inflasi berada sangat tinggi dari satu bulan ke satu bulan sehingga boleh menghakis nilai mata wang sesebuah negara, disebabkan harga barangan melambung.

Stagflasi pula merujuk kepada situasi kadar inflasi tinggi, pertumbuhan ekonomi menjadi perlahan, manakala pengangguran pun kekal tinggi.

Beliau menjelaskan sebahagian daripada tekanan inflasi akan terus dibendung oleh kawalan harga yang sedia ada, subsidi bahan api dan lebihan bekalan dalam ekonomi.

“Pada masa sama, kita melaksanakan dasar monetari dan fiskal berhemat, yang akan mencegah hiperinflasi,” katanya kepada BH.

Nor Shamsiah berkata, kemungkinan berlaku stagflasi seperti tahun 1970-an, iaitu kadar inflasi tinggi dalam keadaan pertumbuhan perlahan juga adalah kecil.

“Sebagai contoh, stagflasi di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1970-an berlaku berikutan dua kejutan berkaitan minyak (sekatan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada 1973 dan krisis minyak selepas revolusi Iran pada 1979) serta dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) AS yang pada masa itu lebih mementingkan usaha untuk mencapai guna tenaga yang penuh.

“Kami yakin keadaan stagflasi tidak akan berlaku di Malaysia,” katanya.

Nor Shamsiah berkata, kenaikan harga dalam negeri ketika ini sebahagian besarnya didorong oleh faktor penawaran iaitu harga komoditi global yang tinggi dan gangguan kepada rantaian bekalan.

Beliau berkata, pada masa sama, keadaan permintaan dalam negeri yang semakin kukuh juga telah mula menunjuk tanda-tanda menyumbang kepada kenaikan inflasi yang didorong oleh permintaan tinggi, sejajar dengan pembukaan semula ekonomi.

“Faktor ini dan pelarasan harga selepas tempoh harga yang rendah telah menyumbang kepada peningkatan harga pada tahun ini. Jika tindakan awal tidak diambil, permintaan dalam negeri yang berlebihan boleh menambah tekanan inflasi,” katanya.

Menjawab sama ada Malaysia berdepan keadaan di mana ‘rakyat memiliki wang yang banyak untuk mengejar barangan atau perkhidmatan yang terlalu sedikit’, Nor Shamsiah menjelaskan rangsangan dasar monetari dan fiskal dilaksanakan di negara ini untuk menangani impak pandemik tidak mendorong kepada tekanan harga berlebihan di pasaran domestik.

 

Inflasi keseluruhan pada 2022 dijangka berada pada purata antara 2.2 hingga 3.2 peratus -NSTP/Azhar Ramli
Inflasi keseluruhan pada 2022 dijangka berada pada purata antara 2.2 hingga 3.2 peratus -NSTP/Azhar Ramli

 

“Tidak seperti negara lain yang menggunakan dasar monetari tidak konvensional melalui pembelian aset pada skala besar atau pelonggaran kuantitatif (QE), BNM tidak melaksanakan kaedah sedemikian sebagai tindak balas kepada pandemik.

“Langkah rangsangan Malaysia adalah berbeza dari segi saiz dan ciri berbanding dengan negara lain seperti AS.

“Di AS, tahap sokongan dasar yang sangat besar dari segi perbelanjaan fiskal dan QE telah memacu pemulihan permintaan secara mendadak apabila ekonomi dibuka, tidak sepadan dengan pemulihan pada penawaran, sekali gus menyumbang kepada tekanan harga yang tinggi,” katanya.

Bagi Malaysia, Nor Shamsiah berkata, saiz rangsangan dasar monetari dan fiskal yang diperkenalkan adalah lebih kecil berbanding negara maju.

“Meskipun rangsangan dalam negeri telah membantu menyokong permintaan, ia bukanlah dalam skala sehingga boleh mendorong tekanan harga yang berlebihan.

“Tekanan kos yang tinggi di Malaysia disebabkan harga komoditi dan faktor penawaran, di samping permintaan yang semakin pulih selepas pembukaan semula ekonomi.

“Ini bukan disebabkan oleh ‘jumlah wang yang terlalu banyak mengejar barangan atau perkhidmatan yang terlalu sedikit’,” katanya.

Nor Shamsiah berkata, sudah ada tanda-tanda permintaan semakin kukuh seiring dengan pertumbuhan ekonomi yang bertambah baik dan BNM akan terus memantau perkembangan ini dengan teliti.

Beliau memberi jaminan BNM akan terus mengambil langkah yang sewajarnya untuk memastikan harga kekal stabil.

“Kita mesti mengelak situasi permintaan yang berlebihan. Jika ini berlaku, ia akan mendorong inflasi lebih tinggi dan memudaratkan rakyat,” katanya.

Sepanjang tempoh pandemik COVID-19, kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan bantuan dan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM530 bilion untuk merangsang dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Hasilnya, ekonomi Malaysia mencapai pertumbuhan sebanyak 3.1 peratus pada 2021 dan seterusnya berkembang sebanyak 5.0 peratus pada suku pertama 2022. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close