Malaysia

‘PTPTN Perlu Kaji Balik Mekanisme Kutipan Bayaran Balik Pinjaman’ – Ketua Audit Negara

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu mengkaji semula mekanisme kutipan bayaran balik pinjaman pendidikan yang lebih efektif dan meningkatkan pemantauan terhadap pengurusan pinjaman dengan menetapkan kutipan bersasar mengikut tahun tertunggak.

Perkara itu adalah antara syor yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 1/2023 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2023, yang dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Laporan itu mengesyorkan PTPTN mengkaji semula insentif diskaun bayaran balik terhadap pinjaman pendidikan dan pengecualian 100 peratus bayaran balik pinjaman pendidikan peminjam bagi yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama atau setaraf dengannya, kepada peminjam bersasar atau yang layak.

“Selain itu, melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang diluluskan Jemaah Menteri pada 5 Julai 2024, antaranya pengeluaran surat peringatan dan tindakan penguatkuasaan, notis tuntutan, saman serta penghakiman,” katanya.

Tempoh usia tunggakan bayaran balik tertinggi adalah antara empat hingga enam tahun, berjumlah RM3.374 bilion bagi 302,613 peminjam, manakala yang melebihi 12 tahun berjumlah RM815 juta bagi 18,119 peminjam.

“Analisis Audit juga mendapati peratusan bayaran balik pinjaman pendidikan yang diterima PTPTN bagi tempoh 2014 hingga 2023 adalah antara 7.3 peratus hingga 79. 3 peratus, berbanding tunggakan bayaran balik pinjaman pendidikan yang direkodkan,” katanya.

Bagi tempoh 2019 hingga 2023, PTPTN menanggung perbelanjaan insentif diskaun bayaran balik dan insentif pengecualian bayaran balik pinjaman berjumlah RM1.5 bilion dan Kerajaan Persekutuan membuat bayaran balik terhadap perbelanjaan itu berjumlah RM1.268 bilion kepada PTPTN bagi tempoh berkenaan.

Bagi tindakan kutipan bayaran balik pinjaman, PTPTN melaksanakan beberapa langkah, iaitu melalui Surat Pemakluman Tunggakan, Surat Peringatan 1, 2 dan 3, Surat Peringatan Tindakan Penguatkuasaan, Notis Tuntutan (NOD), Saman dan Penghakiman serta Sekatan Perjalanan.

“Bagaimanapun, tindakan untuk mengutip bayaran balik pinjaman pendidikan secara penguatkuasaan dihentikan mulai 2018 hingga 2023 dan pada 2023, PTPTN mengeluarkan Surat Pemakluman Tunggakan kepada 554,416 peminjam.

“Bayaran balik pinjaman pendidikan yang tidak dapat dikutip menyebabkan PTPTN menghadapi risiko kekurangan sumber untuk mengeluarkan pinjaman baharu kepada peminjam yang layak,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close