Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan mengambil alih tugas sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa hari ini.
TNB dalam satu kenyataan memaklumkan, Megat Jalaluddin yang sebelum ini memikul tugas sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) TNB, menggantikan Datuk Seri Baharin Din yang menamatkan tempoh perkhidmatannya, semalam.
Megat Jalaluddin menerima surat pelantikannya daripada Pengerusi TNB, Datuk Abdul Razak Abdul Majid, pada majlis ringkas di Ibu Pejabat TNB, Bangsar, di sini, pagi tadi.
Menurut kenyataan itu, Megat Jalaluddin berpengalaman luas dalam industri tenaga dan telah menerajui pelbagai peranan utama dalam TNB sejak 1989, termasuk sebagai Ketua Pegawai Strategik, Ketua Pegawai Retail serta Ketua Pegawai Strategi dan Usaha Niaga.
“Sebagai CEO baharu TNB, beliau akan meneruskan amanah mengemudi syarikat untuk menggerakkan pertumbuhan perniagaan TNB dan mengendalikan agenda peralihan tenaga syarikat ke arah pelepasan sifar bersih.
“Ini selaras matlamat neutral karbon Malaysia menjelang 2050 – demi membina masa depan yang lebih lestari untuk generasi akan datang,” menurut kenyataan itu lagi. – BERNAMA