Duniaku TeknokratPilihan Editor

Pengasas RHB Dilantik Jadi Pengerusi Baharu TH

Tan Sri Abdul Rashid Hussain dilantik sebagai Anggota Lembaga dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Abdul Rashid adalah bagi menggantikan Tan Sri Azman Mokhtar yang tamat tempoh sebagai Pengerusi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar, berkata Abdul Rashid merupakan seorang ahli perniagaan dan berjaya mengasaskan Kumpulan Perbankan RHB antara yang terbesar di Malaysia.

Menurutnya, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Khazanah Nasional Bhd dari 1994 hingga 1998.

Katanya, selain itu beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Putrajaya Holdings dari 1995 hingga 2000.

“Abdul Rashid juga di antara enam ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di dalam Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) TH,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Mohd Naim berkata, Abdul Rashid juga Ahli Lembaga Gabenor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan atas sumbangannya kepada negara dan masyarakat, beliau dianugerahkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 1445H/2023M.

Menurutnya, pengalaman luas Abdul Rashid sebagai seorang tokoh korporat amat berharga dalam meneruskan

kecemerlangan TH sebagai institusi pengurusan haji bertaraf dunia, di samping membantu dalam memacu usaha pengukuhan yang sedang dan terus berjalan.

Katanya, pada masa sama pihaknya ingin merakamkan setinggi- tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Azman di atas segala jasa bakti serta perkhidmatan terbaik khasnya dalam memimpin Lembaga Pengarah TH dan secara amnya kepada semua warga TH. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close