Governans

Minyak Sawit Sumbang RM102 Bilion Eksport, RM18 Bilion Cukai – Johari Ghani

Industri minyak sawit menyumbang tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dengan nilai eksport mencecah RM102 bilion dan RM18 bilion dalam hasil cukai.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata industri yang mewakili sebahagian besar ekonomi Malaysia itu telah menyediakan sumber pendapatan kepada sejuta orang termasuk 450,000 pekebun kecil.

“Antara tujuh komoditi pertanian di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi iaitu kelapa sawit, getah, kayu balak, koko, lada, tembakau dan kenaf, (tanaman) kelapa sawit merangkumi 5.7 juta hektar atau 84 peratus daripada keseluruhan 6.8 juta hektar kawasan tanaman.

“Secara keseluruhan, kira-kira empat juta individu bergantung kepada industri minyak sawit secara langsung dan tidak langsung,” katanya ketika merasmikan Forum Biodiversiti Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) di sini, hari ini.

Johari berkata, sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia, Malaysia juga menjadi pemain penting dalam dunia minyak boleh makan.

Beliau berkata, sebagai sebuah negara, Malaysia sangat komited terhadap agenda kelestarian global menerusi sasaran yang telah ditetapkan dan komitmen yang telah negara laksanakan.

“Ia termasuk sasaran pelepasan gas rumah kaca (GHG) sifar bersih menjelang 2050 (Rancangan Malaysia Ke-12); Perjanjian Paris (COP21) bagi intensiti pengurangan karbon terhadap KDNK sebanyak 45 peratus menjelang 2030. COP26 untuk mengurangkan pelepasan metana global sebanyak 30 peratus menjelang 2030 dan Sidang Kemuncak Dunia Rio 1992 untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada litupan hutan,” katanya.

Johari berkata, di samping komitmen ke atas alam sekitar, terdapat juga nilai ekonomi yang perlu diteruskan dalam memastikan pengeluaran minyak sawit yang mampan.

“Memandangkan lebih banyak rakan dagangan semakin bimbang tentang kesan komoditi pertanian terhadap iklim, Malaysia mesti membuktikan kepada masyarakat global bahawa kita mampu mencapai keseimbangan antara memenuhi keperluan keselamatan makanan sambil menjaga alam sekitar.

“Justeru, kita akan menjadikan orang utan sebagai satu langkah diplomasi, di mana kita akan memeliharanya dan menjadikan hadiah kepada rakan dagang kita.

“Orang utan akan menjadi manifestasi bagaimana Malaysia memelihara kehidupan dan mengekalkan kemampanan hutan kita,” katanya.

Beliau menegaskan, Malaysia bukan bersikap defensif melindungi kelapa sawit, tetapi aktif untuk membuktikan bahawa produk sawit negara sangat mampan.

“Kita tidak lagi pentingkan pewujudan kawasan baharu untuk menanam kelapa sawit tetapi mengetengahkan cara untuk tingkatkan hasil yang lebih tinggi.

“Tiada lagi penebangan hutan baharu untuk menanam kelapa sawit, kecuali tanah berkenaan telah dimajukan dengan tanaman lain sebelum 2020 dan ingin bertukar kepada penanaman sawit. Itu tiada masalah,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close