Oleh Ahmad Fauzi Mustafa
Pernah ditempelak bekas Menteri Perusahaan Utama, mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik terhadap kumpulan pelabel anti-minyak sawit sebagai propaganda keganasan !
Malaysia terus diganyang oleh kumpulan pelabel anti-minyak sawit susulan beberapa Ahli Kongres Amerika Syarikat pada satu ketika dulu mencadangkan resolusi melabelkan minyak tropika termasuk minyak sawit sebagai minyak tumbuhan yang mampu meningkatkan paras kolestrol dalam darah, punca utama sakit jantung dan membahayakan kesihatan rakyat berikutan laporan berat sebelah akhbar New York Times dan The Washington Post.
Mujur resolusi itu tidak diluluskan, itu cerita lebih 35 tahun lalu yang memperlihatkan usaha kumpulan penyokong dan sokongan pelabel anti-minyak sawit masih berterusan dengan agenda diskriminasi, tidak kira di luar negara mahupun dalam negara sendiri.
Sebenarnya perjuangan konsisten Malaysia memerangi diskriminasi anti-minyak sawit tidak pernah luntur.
Kejayaan terbesar negara ditegaskan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bahawa Malaysia memenangi kes tuntutan diskriminasi biofuel minyak sawit yang dikeluarkan di negara ini yang diperuntukkan dalam Akta Delegasi Kesatuan Eropah (EU).
Panel Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), pada 5 Mac 2024, mengeluarkan laporan akhir dan menyimpulkan bahawa Akta Delegasi EU yang menyekat biofuel minyak sawit adalah bersifat diskriminasi.
Keputusan WTO ini menunjukkan bahawa tuntutan diskriminasi Malaysia adalah wajar. Ini membuktikan Malaysia memperjuangkan keadilan untuk biodiesel negara, peniaga, syarikat dan pekerja.
Namun cerita sebenar sekarang siapa sebenarnya kumpulan penyokong dan sokongan pelabel anti-minyak sawit di dalam negara sendiri ini ? Umpama api dalam sekam, gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut mahupun musang berbulu ayam.
Bidalan-bidalan sebegini begitu menusuk di sanubari lebih dua juta rakyat Malaysia yang terbabit dalam rantaian nilai minyak sawit termasuk lebih 440,000 pekebun kecil sawit, tetapi seolah-olah ada pihak yang tidak berpatriotik membabitkan pemilik, pengusaha, peruncit, pemborong dan pengimport yang langsung tidak memperdulikannya.
Ingat, kesannya ke atas kesejahteraan rakyat adalah sangat besar. Kegiatan menjual produk makanan tertera perkataan “No Palm Oil” (NPO) atau “Tiada Minyak Sawit” pada plastik pembungkusan produk itu masih terus berleluasa dan ironinya, tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah kedai serbaneka di Presint 3 terletak di Putrajaya, terus membuka mata rakyat Malaysia.
Ramai yang terkejut akan aktiviti kumpulan anti-minyak sawit berlaku di ibu kota pentadbiran negara. Ini satu pencabulan kedaulatan negara dan satu pengkhianatan besar !
Penulis sebenarnya menyokong kewajaran Menteri Perladangan dan Komoditi memberi amaran tegas kepada peruncit, pemborong dan pengimport di negara ini, supaya tidak menjual, mengedar atau mengimport produk yang dilabel dengan kempen memboikot produk kelapa sawit.
Mungkin lebih baik, didedahkan sahaja nama syarikat tempatan, pasar raya besar, pasar mini, kedai serbaneka atau kedai runcit yang menyokong, mengedar, membekalkan dan menjual produk menggunakan label kempen anti-minyak sawit.
Sepatutnya pemilik, pengusaha, peruncit, pemborong dan pengimport sebagai seorang warga negara Malaysia jangan hanya melihat keuntungan semata-mata, tetapi dalam hal ini, mereka perlu menterjemahkan sifat PATRIOTIK bagi mempertahankan kepentingan dan kelestarian industri sawit negara.
Kajian pernah menunjukkan bahawa Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) telah menjalankan penyelidikan bagi mengenal pasti produk berlabel diskriminasi terhadap minyak sawit di pasaran negara ini pada 2021, yang mendapati sebanyak 80 daripada 251 premis yang ditinjau di sekitar Lembah Klang memaparkan produk berlabel ‘Tanpa Minyak Sawit’.
Kebanyakan premis dengan produk sedemikian terletak di Petaling Jaya, Subang Jaya, Cyberjaya dan pusat bandar Kuala Lumpur.
Itu baharu tahun 2021 dan penulis percaya kajian seumpama itu perlu didedahkan untuk tahun 2022, 2023 dan empat bulan pertama 2024 ? Rakyat menaruh harapan dengan MPOC untuk terus mendedahkannya !
Malahan rakyat turut berhak mengetahuinya kerana ia soal masa depan ekonomi negara. Sawit umpama emas merah negara, gah berstatus sebagai pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia dan kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM70 juta untuk kempen menangani anti-minyak sawit tahun lalu.
Usah takut kerana negara ini punya undang-undang tegas mengikut Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan Atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022. Jika sabit kesalahan, pihak berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun.
Kemelut anti-minyak sawit harus dititik-noktahkan.
Malaysia dan rakyat ini harus terus teguh memerangi perang yang tidak beretika selagi mana bumi kencana tanah air ini dianugerahi afwah yang tidak pernah lekang akan kirana dan ratnanya. – BACALAHMALAYSIA.MY
- Penulis adalah Perunding di Pusat Penyelidikan Strategik dan bekas Ketua Komunikasi Korporat di Kementerian Industri Utama dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC).