Malaysia

Muhyiddin Terima Kunjungan Hormat Perpisahan Duta Besar Thailand

Urusan membawa pulang baki rakyat Malaysia yang terkandas di wilayah selatan Thailand dan pembinaan dua jambatan persahabatan di Kelantan adalah antara topik perbincangan ketika kunjungan hormat perpisahan Duta Besar Thailand Narong Sasitorn ke atas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut dibincangkan dalam pertemuan di Putrajaya hari ini adalah usaha mengukuhkan hubungan dua hala sedia ada dengan meneroka lebih banyak kerjasama dalam pelbagai bidang untuk manfaat kedua-dua negara.

“Hari ini saya menerima kunjungan hormat perpisahan Sasitorn yang akan menamatkan perkhidmatannya hujung bulan ini,” kata Muhyiddin menerusi catatan di laman Facebook beliau malam ini.

Mengenai proses membawa pulang rakyat Malaysia, Muhyiddin memohon kerjasama kerajaan Thailand untuk memudahkan urusan itu memandangkan mereka sedang menunggu kelulusan untuk merentas sempadan negara.

“Selain mengucapkan terima kasih kepada Sasitorn atas peranannya membantu memudahkan urusan membawa pulang 282 rakyat Malaysia yang terkandas di Thailand berikutan penularan wabak COVID-19, saya juga berharap pihak berkuasa Thailand membantu urusan membawa pulang rakyat Malaysia yang masih berada di wilayah selatan negara itu,” katanya.

Berkongsi mengenai jumlah rakyat Malaysia yang telah pulang dari wilayah itu, Muhyiddin berkata lebih 1,000 rakyat negara ini pulang setelah dibantu pihak berkuasa Thailand.

Beliau berkata Sasitorn juga mengambil maklum mengenai langkah yang diambil Malaysia dalam membantu menghantar pulang lebih kurang 17,000 rakyat Thailand yang berada di negara ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Saya memaklumkan yang kerajaan Malaysia telah membantu membawa pulang 110 warga Thailand yang berada di empat buah negara melalui penerbangan khas,” kata Muhyiddin.

Menyentuh mengenai komitmen antara Malaysia dan Thailand membina jambatan persahabatan di Tak Bai-Pengkalan Kubor serta Sungai Golok-Rantau Panjang yang menghubungkan Kelantan dan Narathiwat, beliau berkata kedua-dua negara bersetuju untuk terus berbincang mengenai pembinaan itu.

“Kami juga memperbaharui komitmen kedua-dua negara untuk terus mengadakan perbincangan berhubung pembinaan jambatan persahabatan selepas mesyuarat pertama Jawatankuasa Teknikal Bersama yang dijadual pada Mac lalu ditangguhkan akibat COVID-19,” katanya.

Menurut Muhyiddin, beliau turut menyatakan komitmen Malaysia untuk terus menjalin hubungan baik dengan Thailand dalam menangani kesan daripada penularan pandemik COVID-19 selain menzahirkan penghargaan terhadap Sasitorn sepanjang dua tahun berkhidmat sebagai Duta Besar di negara ini.

Turut dimuat naik dalam catatan itu, enam keping gambar kunjungan hormat berkenaan. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close