Kerajaan akan membentangkan pelan pemulihan ekonomi jangka panjang pada Oktober ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi sedang dalam proses dalam proses penyediaan pelan berkenaan.
“Antara lain, ia akan memberi tumpuan kepada penambahbaikan dalam pasaran buruh, reformasi institusi awam dan kerangka urus tadbir serta pelaksanaan pendigitalan dan Revolusi Perindustrian Keempat.
“Di samping pelbagai langkah yang akan diperkenalkan dalam Bajet 2021 pada 6 November 2020, kerajaan juga sedang merangka pelbagai dasar dan strategi khusus untuk menstruktur dan mengukuhkan semula ekonomi serta menangani ketidakseimbangan pembangunan sosio-ekonomi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), 2021-2025 yang akan dibentang awal tahun 2021,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini. – BERITA HARIAN