MalaysiaPilihan Editor

NCIA Berjaya Tarik Pelaburan RM2.2 Bilion Di Perak

Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) berjaya menarik pelaburan diluluskan bernilai RM2.2 bilion di Perak hasil kerjasama dengan kerajaan negeri, serta agensi pelaburan persekutuan dan negeri, peningkatan 24.3 peratus berbanding tahun lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, dalam kenyataan hari ini berkata dengan jumlah pelaburan ini juga, ia berjaya mewujudkan 3,816 pekerjaan, meningkat 28.5 peratus berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, Perak berada di landasan yang betul untuk memenuhi sasaran RM4.2 bilion pelaburan yang diluluskan dan 3,780 pewujudan pekerjaan untuk 2023.

“Menjelang 2023, kami (kerajaan negeri) optimis terhadap prospek ekonomi di negeri ini dengan pelaburan berterusan dalam sektor pertumbuhan utama dan pembangunan industri baharu seperti ekonomi digital dan gig.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan, berkata NCIA telah memperkenalkan pelbagai program modal insan bagi meningkatkan kemahiran bakat tempatan untuk golongan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini.

Beliau berkata, NCIA melaksanakan pelbagai inisiatif seperti program peningkatan kemahiran, latihan amali dan program bimbingan untuk membantu PKS mengekalkan bakat melalui kaedah inkubator, pemecut dan ruang kerja bersama bagi membantu golongan PKS mengakses sumber yang diperlukan.

“NCIA telah melaksanakan beberapa program untuk menyokong PKS dan meningkatkan kemahiran bakat yang selaras dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER dan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

“Antaranya Dana Usahawan (DU@NCER) yang menyediakan bantuan pembiayaan kepada PKS membantu membangunkan perniagaan mereka yang memfokuskan kepada sektor industri teras di NCER,” katanya.

Mohamad Haris berkata, NCIA dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA) telah memulakan Projek Lata Kinjang bertujuan menangani kemiskinan dalam kalangan masyarakat Orang Asli dengan menubuhkan Koperasi Orang Asli Lata Kinjang (KOALK).

Beliau berkata, KOALK ialah sebuah koperasi yang dilantik sebagai pengendali utama Taman Eko Rimba Lata Kinjang bagi menjana pendapatan mampan daripada aktiviti dan kemudahan eko-pelancongan.

“Taman Eko-Rimba Lata Kinjang, dengan pelbagai tarikan eko-pelancongan seperti air terjun, tapak perkhemahan, kemudahan perkelahan dan infrastruktur asas lain telah dibuka sejak Ogos lalu.

“Sehingga Februari tahun ini, Lata Kinjang menerima lebih 57,000 pengunjung tempatan dan asing manakala lebih daripada 1,400 penduduk tempatan dari tujuh buah kampung sekitar telah mendapat manfaat daripada limpahan ekonomi yang dijana oleh kemasukan pelancong ke taman air terjun itu,” katanya. -BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close