Dimensi BisnesPilihan Editor

Meet Bros Steakhouse Catat Sejarah Baharu Industri F&B Malaysia Di Kota London

Kerjasama dua syarikat Rakan Usahawan PUNB, Palace Butcher Resources Sdn Bhd dan Serai Group Sdn Bhd melakar sejarah tersendiri dengan pembukaan restoran usaha sama pertama mereka ‘Meet Bro Steakhouse’ di Paddington, London pada Jumaat lalu (12 Mei 2023).

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan mencemar duli berangkat menyempurnakan perasmian restoran tersebut.

Pengerusi Interim PUNB, Datuk Mohammad Bin Ismail berkata, Meet Bros Steakhouse adalah kerjasama julung kalinya di antara dua syarikat Rakan Usahawan PUNB, Palace Butcher Resources Sdn Bhd dan Serai Group Sdn Bhd di bawah rangkaian restoran mereka yang terkenal, Me’nate Steak Hub, Serai dan Jibby & Co.

Menurutnya, kejayaan kerjasama di peringkat antarabangsa ini merupakan pencapaian penting buat kedua-dua syarikat ini dalam usaha untuk melakar satu lagi kejayaan membanggakan dalam industri F&B di Malaysia.

“Sepanjang mengusahakan perniagaan, mereka telah menunjukkan rekod prestasi yang kukuh dalam pembangunan dan pengendalian rangkaian restoran masing-masing.

“Ini telah melayakkan mereka untuk mendapat pelbagai pengiktirafan dan penghargaan daripada industri F&B tempatan.

“Hasil kerjasama antarabangsa ini turut dijayakan PUNB melalui sokongan kewangan dan pembangunan. Kedua-dua syarikat ini sudah menjadi sebahagian Rakan Usahawan PUNB sejak 10 tahun lalu.

“PUNB turut berperanan menyokong mereka dalam mengembangkan perniagaan di peringkat tempatan dan akan terus menunjangi pengembangan perniagaan mereka di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataannya, di sini.

‘Meet Bros Steakhouse’ menawarkan kombinasi unik hidangan stik cita rasa Asia dan Barat. Objektif utama mereka adalah menyediakan pengalaman makanan yang separa-mewah dengan suasana moden kepada pelanggan sambil menikmati makanan enak bersama keluarga dan rakan-rakan.

Restoran ini terletak di lokasi strategik yang dikelilingi kediaman bandar dan hub makanan selain mempunyai akses mudah kepada pengangkutan awam seperti sambungan  Stesen Kereta Api Paddington dan Stesen Tube London.

Hadir sama dalam majlis perasmian tersebut ialah Pengurus Besar Bahagian Kewangan & Transformasi PUNB, Encik Azman Abdullah, wakil Palace Butcher Resources Sdn Bhd dan wakil Serai Group Sdn Bhd.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, kejayaan Rakan Usahawan PUNB ini membuktikan komitmen PUNB dalam membantu usahawan meluaskan perniagaan dan meneroka pasaran baharu di peringkat antarabangsa menerusi Inisiatif Pengantarabangsaan.

Menurutnya, sejajar dengan transformasi baharu PUNB dengan tema, ‘Reinventing PUNB, Path to Sustainability’ (R-25), PUNB komited dalam pembangunan strategik usahawan Bumiputera dalam sektor peruncitan dan perdagangan pengedaran di dalam dan luar negara.

“PUNB tidak mengkhususkan kepada industri tertentu untuk melebarkan sayap ke luar negara, sebaliknya peluang dibuka kepada semua Rakan Usahawan PUNB mengikut kesesuaian pasaran dan peluang yang ada.

“PUNB bekerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan serta badan professional untuk meneroka peluang perniagaan yang bersesuaian dengan Rakan Usahawan PUNB.

“Selain itu, Rakan Usahawan PUNB yang terdiri daripada pelbagai industri seperti makanan dan minuman (F&B), tekstil dan pemborong serta runcit dijemput untuk menyertai misi perdagangan di luar negara sama ada untuk menjalankan kerjasama atau mengembangkan perniagaan,” katanya.

Tambahnya, misi perdagangan yang dijalankan tidak terhad kepada pengembangan perniagaan, sebaliknya turut membantu usahawan mendapatkan sumber bahan mentah, rantaian bekalan dan menjalinkan kerjasama dengan syarikat luar.

Setakat ini, PUNB sudah menganjurkan enam misi perdagangan, termasuk misi yang menghasilkan projek kerjasama di antara Palace Butcher Resources Sdn Bhd (Me’nate) dan Serai Group Sdn Bhd untuk membuka restoran Meet Bros Steakhouse, di Paddington, London.

Selain itu, misi perdagangan ke United Kingdom, Wales dan Dubai dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), peluang perniagaan untuk Rakan Usahawan PUNB menerusi misi perdagangan dan pelaburan ke Afrika Selatan, Lahore dan Faisalabad, Pakistan; Kobe, Nagoya dan Tokyo, Jepun dan Taipei, Taiwan.

Izwan berkata, untuk Inisiatif Pengantarabangsaan, PUNB menawarkan gabungan pembiayaan perniagaan bermula dari RM100,000 hingga RM10 Juta dan insentif padanan sehingga RM500,000 untuk syarikat Rakan Usahawan PUNB yang layak.

Katanya, selain memberikan bantuan pembiayaan perniagaan, turut PUNB menawarkan sokongan pembangunan termasuk pemantauan dan nasihat, latihan keusahawanan dan pembangunan serta pembangunan perniagaan.

“Nilai tambah ini sangat berguna untuk Rakan Usahawan dalam mengekalkan perniagaan mereka dan menambah pengetahuan,” katanya.

Sebarang pertanyaan mengenai PUNB, boleh hubungi Pegawai Khidmat Pelanggan di talian 1 300 13 7862 atau e-mel kepada [email protected]. Layari portal rasmi PUNB di www.punb.com.my dan ikuti akaun rasmi media sosial PUNB @punbofficial untuk maklumat terkini. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close