Duniaku TeknokratPilihan Editor

Matlamat Pembangunan Mampan (SDG): PUNB Bantu Memperkasa Komuniti Orang Asli Melalui Program ECO

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) melancarkan program baharu ‘Empowering Orang Asli Communities’ (ECO) untuk memperkasa komuniti Orang Asli melalui kemahiran dan latihan.

Usaha PUNB ini adalah meneruskan agenda menyokong dan mempromosikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) sebagai bahagian penting dalam operasi memperkasa komuniti Orang Asli.

Program ECO ini adalah kerjasama strategik antara PUNB dan Rakan Usahawan dalam bidang automotif untuk melatih belia Orang Asli berusia 18 hingga 30 tahun untuk menjalani latihan sambil bekerja di bengkel kenderaan milik Rakan Usahawan PUNB yang terpilih.

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, PUNB memilih untuk memperkenalkan program ECO bagi memperkasakan kehidupan Orang Asli dan merapatkan jurang ketidaksamaan dalam ekonomi.

 “Dalam tempoh beberapa tahun ini, PUNB telah melakukan penambahbaikan berterusan terhadap langkah-langkah yang menyokong dan mempromosikan SDG sebagai bahagian penting dalam operasi kami. Ia sejajar dengan agenda utama SDG PUNB dalam mencapai keseimbangan keperluan pembangunan operasi dan menyumbang impak positif kepada masyarakat.

“Justeru, PUNB komited untuk membantu belia Orang Asli ini dengan menggalakkan keterangkuman sosial melalui penglibatan meluas di dalam bidang kemahiran dan aktiviti yang boleh meningkatkan taraf ekonomi mereka,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Seramai 10 belia Orang Asli yang berasal dari perkampungan Orang Asli di sekitar Jerantut, Pahang terpilih dalam projek rintis ini.

Mereka yang terpilih akan menjalani latihan selama enam bulan bermula Jun depan di bengkel- bengkel Rakan Usahawan PUNB terletak di Temerloh, Pahang; Bangi, Banting dan Cyberjaya, Selangor.

Peserta program ini akan diberikan elaun bulanan serta kemudahan penginapan sepanjang program. Lima Rakan Usahawan PUNB terpilih akan bertindak sebagai mentor dengan memberi latihan dan tunjuk ajar kepada peserta.

Rakan Usahawan PUNB yang terlibat ialah Awie Tayar & Services, Maxipura Sdn Bhd, Kah Millenium Work Sdn Bhd, Azam MM Sdn Bhd dan Wan Nor Auto Services Sdn Bhd.

Izwan berkata, pihaknya berterima kasih kepada Presiden Persatuan Automatif Prosper Malaysia (Autopro), Abdul Muner Hanafiah dan ahli-ahli Autopro di atas kerjasama yang diberikan untuk menjayakan program ini.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai SDG, Izwan berkata, perjalanan PUNB ke arah SDG diiktiraf menerusi penganugerahan Anugerah Khas kategori ‘Best Sustainability Report’ di Malam Anugerah Persatuan Institusi Kewangan dan Pembangunan di Asia serta Pasifik (ADFIAP) 2023 yang diadakan di Almaty, Kazakhstan, baru-baru ini.

Menurutnya, pengiktirafan daripada institusi global yang disegani seperti ADFIAP adalah satu penghormatan dan pencapaian yang cemerlang buat PUNB.

Sebarang pertanyaan mengenai PUNB, boleh hubungi Pegawai Khidmat Pelanggan di talian 1 300 13 7862 atau e-mel kepada [email protected]. Layari portal rasmi PUNB di www.punb.com.my dan ikuti akaun rasmi media sosial PUNB @punbofficial untuk maklumat terkini. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close