Kestabilan pentadbiran selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan penting bagi mengekalkan keyakinan pelabur serta memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negeri itu terus berkembang.
Barisan Nasional (BN) dengan kerjasama Perikatan Nasional (PN) kembali menerajui kerajaan Negeri Sembilan selepas meraih kemenangan dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Perunding Kanan Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman, berkata faktor paling utama bagi pelabur bukanlah parti yang membentuk kerajaan, sebaliknya keupayaan menawarkan kesinambungan dasar, kecekapan pentadbiran dan kepastian dalam pelaksanaan projek pembangunan.
Beliau berkata, kerajaan negeri yang stabil juga lebih berupaya menyelaras pelaksanaan projek infrastruktur serta memperkukuh kerjasama dengan kerajaan Persekutuan, sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap pelaburan jangka panjang.
“Keputusan PRN Negeri Sembilan wajar dilihat sebagai peluang untuk memperkukuhkan kestabilan pentadbiran. Bagi pelabur, yang lebih penting bukan siapa memerintah, tetapi sama ada kerajaan yang terbentuk mampu menawarkan kesinambungan dasar, kecekapan pentadbiran dan kepastian dalam pelaksanaan projek pembangunan,” katanya kepada BH.
Keputusan PRN Negeri Sembilan menyaksikan kerjasama BN-PN menguasai 25 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), melepasi ambang 24 kerusi yang diperlukan untuk memperoleh majoriti dua pertiga.
BN muncul parti terbesar dengan mempertahankan kesemua 14 kerusi yang dimenanginya pada PRN 2023, selain merampas Chennah, Pilah dan Repah daripada PH.
Mengulas lanjut, Samirul berkata, kedudukan Negeri Sembilan yang bersempadan dengan Lembah Klang turut memberi kelebihan untuk menarik limpahan pelaburan dalam sektor pembuatan, logistik, perkhidmatan, pelancongan dan pembangunan hartanah.
Katanya, faktor itu menjadikan kestabilan kerajaan negeri sebagai antara elemen penting bagi memastikan keyakinan pelabur terus terpelihara.
“Sebagai negeri yang berjiran dengan Lembah Klang, Negeri Sembilan berada dalam kedudukan strategik untuk menerima limpahan pelaburan, industri dan pembangunan.
“Oleh itu, kestabilan kerajaan negeri menjadi faktor penting dalam mengekalkan keyakinan pelabur dan memastikan momentum pertumbuhan ekonomi terus bergerak,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, kestabilan politik sahaja tidak mencukupi jika tidak disertai tadbir urus yang baik, dasar yang konsisten, pembangunan modal insan, peningkatan produktiviti serta keupayaan melaksanakan agenda pembangunan secara berkesan.
Katanya, pada akhirnya, prestasi sesebuah kerajaan akan dinilai berdasarkan keupayaannya meningkatkan peluang pekerjaan berkualiti, menarik pelaburan bernilai tinggi, menaikkan pendapatan rakyat serta memperbaiki kualiti hidup, dan bukannya semata-mata berdasarkan keputusan pilihan raya. – BH ONLINE




