Pilihan EditorTwo Cents

Belanjawan 2024 Penentu Masa Hadapan Ekonomi Dua Dekad – Pakar Ekonomi

Oleh Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai

Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pada Jumaat minggu hadapan adalah bajet kedua di bawah Kerajaan MADANI, tetapi masih ramai tertanya-tanya apakah pembaharuan akan ditonjolkan.

Ini kerana kita masih tidak begitu jelas arah dan polisi pembangunan di bawah kerajaan baharu, tetapi yang paling penting, kita dijangka akan menghadapi suasana ekonomi dunia sangat mencabar.

Di seluruh dunia, kebanyakan negara sedang menghadapi ekonomi mencabar dengan kadar inflasi tinggi dan kemungkinan kegawatan yang dekat. Sebagai negara mengamalkan ekonomi terbuka – mengimport lebih 80 peratus keperluan negara dan mengeksport 80 peratus daripada keluaran negara – Malaysia pastinya akan terdedah kepada ketidaktentuan ekonomi ini.

Sekarang pun, Malaysia sedang menerima tempias ini dalam bentuk kenaikan harga barangan diimport disebabkan kadar pertukaran ringgit dengan dolar Amerika Syarikat (AS) sebagai mata wang perdagangan antarabangsa.

Walau apapun strategi akan dikemukakan, secara umumnya strategi ini menjurus kepada usaha ‘untuk meningkatkan kebahagiaan rakyat’ sebagai tonggaknya. Di negara ini, usaha meningkatkan kebahagiaan isi rumah ini bertumpu kepada penurunan kos sara hidup dan peningkatan pendapatan.

Jadi kebanyakan isi rumah lebih mengharapkan peningkatan pendapatan sebagai usaha boleh diharapkan memberikan kesan positif. Beberapa inisiatif dijanjikan kerajaan dalam Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Ini kemungkinannya akan dilaksanakan dalam Belanjawan 2024, termasuk pengenalan Dasar Gaji Progresif yang akan menjadikannya mandatori kepada majikan untuk menaikkan gaji setiap pekerja pada setiap tahun.

Ia dilakukan secara sukarela oleh majikan dengan kerajaan bertindak menyokong majikan tidak mampu untuk beberapa waktu. Ia akan disokong sistem gaji minimum sedia ada.

Persoalannya, apakah pengenalan Dasar Gaji Progresif akan cukup lestari dan akan diteruskan pada tahun mendatang? Kerajaan juga menetapkan bahawa majikan perlu meningkatkan perkongsian pendapatan perniagaannya daripada tahap 32 peratus kini kepada 45 peratus menjelang 2025. Di negara maju, majikan berkongsi hampir 60 peratus daripada pendapatan tahunannya dengan pekerja dalam bentuk gaji dan faedah pekerjaan.

Isu pokoknya, mampukah perniagaan dan majikan meningkatkan gaji serta faedah pekerjaan begitu sahaja setiap tahun? Majikan perlu menjustifikasikan peningkatan gaji dengan peningkatan produktiviti pekerja untuk memastikan keuntungan perniagaan stabil dan perniagaan akan terus lestari dalam jangka panjang.

Jadi golongan pekerja perlu meningkatkan tahap produktiviti. Ini hanya boleh dilakukan dengan motivasi tinggi, peningkatan kemahiran dan penggunaan teknologi dalam operasi perniagaan.

Terjerat kancah kemiskinan

Lebih 70 peratus golongan pekerja di negara ini adalah individu mempunyai kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja dan dianggap sebagai kumpulan pekerja tidak mahir atau kurang mahir. Ini menjadikan mereka terjerat dalam kelas menengah dengan mendapat gaji penengah kurang RM2,500 sebulan.

Tahap kemiskinan di negara ini ialah mereka berpendapatan kurang RM2,208 sebulan. Tidakkah ini menjadikan hampir 70 peratus golongan pekerja sebenarnya terjerat dalam kancah kemisikinan?

Ramai lagi kumpulan anak muda yang membuat keputusan tidak melanjutkan pengajian dan terus memasuki alam pekerjaan. Ini cabaran besar perlu ditangani kerajaan dalam merombak ekonomi Malaysia pada kadar segera.

Kerajaan diharapkan akan mengumumkan sesuatu di luar kebiasaan untuk menangani situasi itu dalam Belanjawan 2024. Ia akan menjadi asas perombakan dan penstrukturan semula ekonomi Malaysia. Masanya sangat genting dan kerajaan perlu mengambil peluang ketika ekonomi Malaysia meningkat naik dan mengalami pendakian dalam pusingan ekonomi.

Ramai penganalisis menganggarkan Belanjawan 2024 akan menjadi belanjawan ‘pengembangan’ yang membesarkan jumlah perbelanjaan untuk mengembangkan ekonomi atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Sebenarnya Malaysia sentiasa mengamalkan belanjawan pengembangan sejak berpuluh tahun lalu kecuali pada tahun ekonomi mencabar.

Kemungkinan Belanjawan 2024 akan melepasi tahap RM400 bilion, berasaskan kepada tahap KDNK yang dijangka meningkat hingga melepasi RM2 trilion. Kerajaan perlu berbelanja lebih RM15 bilion untuk cuba membasmi kemiskinan tegar yang bilangannya mungkin melebihi 500,000 isi rumah.

Bantuan kepada sektor swasta

Kerajaan juga perlu memberikan bantuan kepada sektor swasta yang tidak mampu untuk melaksanakan skim gaji progresif. Pada masa sama, kerajaan masih perlu membantu kumpulan memerlukan dengan bayaran tunai RM3,000 seorang. Ini mungkin akan membabitkan RM20 bilion lagi.

Kerajaan akan cuba menjimatkan belanja dengan memperkenalkan program subsidi bersasar ke atas petrol, diesel, tenaga elektrik dan lain-lain – mungkin sebesar RM50 bilion.

Bagaimanapun, kerajaan masih memerlukan sejumlah besar hasil pendapatan cukai – daripada dua cukai diperkenalkan – cukai keuntungan modal bagi syarikat tidak tersenarai dan cukai ke atas barang mewah.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga mungkin berupaya menjana pendapatan tambahan daripada pengenalan sistem e-invois dan nombor pengenalan cukai (TIN) hasil daripada pengurangan aktiviti pelarian serta pengelakan cukai.

Bagi menjana pertumbuhan jangka pertengahan dan panjang, kerajaan akan cuba memacu industri tenaga boleh dipulihkan dan industri berkait dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). Kerajaan perlu memacu industri baharu dengan industri keterjaminan makanan akan digandingkan dengan industri gentian import memanfaatkan lebih 1 juta tanah terbiar.

Secara keseluruhannya, Belanjawan 2024 akan menjadi belanjawan mencabar untuk disediakan, tetapi sangat menarik kerana akan menjadi penentu arah masa hadapan ekonomi negara untuk dua dekad ke hadapan.

Semoga pasukan belanjawan, Menteri Kewangan dan Kerajaan MADANI akan mempunyai keberanian melaksanakannya dengan tegas. – BH ONLINE

 

  • Penulis ialah pakar ekonomi dan Profesor Emeritus di Sekolah Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close