Two Cents

PANDANGAN: Pelesenan Media Sosial Perlu Mekanisme Telus, Bebas Politik – Penganalisis

Oleh Dr Mohd Pirdaus Mat Husain

Langkah mewajibkan pelesenan penyedia platform media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara bermula 1 Januari 2025, menandakan satu titik perubahan dalam landskap digital tanah air.

Sebagai ahli akademik dalam bidang media dan komunikasi, saya melihat ia sebagai keperluan menangani pelbagai isu sudah lama berlarutan di ruang siber, termasuk penyebaran maklumat palsu, kebencian dalam talian dan pencerobohan privasi.

Satu kajian dan penelitian turut dijalankan Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tahun lalu untuk menjayakan usaha pelesenan ini.

Kajian membabitkan penyedia platform besar seperti Google, Meta dan TikTok itu, menunjukkan pelaksanaan sistem pelesenan adalah perlu untuk meningkatkan kawalan dan keselamatan siber di negara ini. Pengenalan lesen operasi ini mempunyai beberapa kebaikan signifikan dari segi keselamatan siber dan pengawalan aktiviti negatif di media sosial.

Pertama, peraturan ini dapat membantu dalam mengurangkan penyebaran maklumat dan berita palsu yang sering mencetuskan panik serta ketidakstabilan sosial.

Selain itu, dalam era digital maklumat dan berita palsu boleh tersebar dengan pantas dan meluas melalui platform media sosial. Penyebaran maklumat yang tidak tepat boleh menyebabkan kekeliruan dan panik dalam masyarakat.

Dengan adanya lesen operasi, platform media sosial akan dipertanggungjawabkan untuk memastikan maklumat dikongsi di platform mereka adalah tepat dan boleh dipercayai. Ini boleh dicapai menerusi mekanisme pemantauan ketat dan kerjasama dengan pihak berkuasa untuk menapis kandungan tidak sahih.

Antara isu lain adalah lesen operasi dapat mengekang aktiviti negatif seperti kebencian, buli siber dan penipuan dalam talian. Platform media sosial tidak mematuhi garis panduan keselamatan dan etika akan dikenakan tindakan, seterusnya dapat mengurangkan insiden sebegini.

Ini penting untuk melindungi pengguna, terutama golongan muda dan rentan daripada ancaman dalam talian.

Kebencian dan buli siber adalah dua masalah besar sering berlaku di media sosial. Kebencian dalam talian boleh merosakkan hubungan sosial dan mencetuskan konflik antara individu dengan komuniti.

Buli siber pula boleh memberi kesan negatif serius kepada mangsa, termasuk tekanan emosi dan mental. Dengan adanya lesen operasi, platform media sosial akan lebih bertanggungjawab mengawal dan mengekang aktiviti negatif ini melalui mekanisme pengawasan.

Seterusnya, peraturan ini juga dapat memperkukuh keselamatan siber negara.

Dengan menetapkan standard keselamatan bagi platform media sosial, kita dapat mengurangkan risiko serangan siber boleh mempengaruhi infrastruktur kritikal dan data peribadi rakyat.

Ini adalah langkah proaktif dalam melindungi negara daripada ancaman siber semakin canggih dan berbahaya.

Realitinya, serangan siber boleh memberi kesan besar kepada negara, termasuk kebocoran data peribadi, kerosakan infrastruktur kritikal dan gangguan sistem komunikasi.

Dengan menetapkan standard keselamatan melalui lesen operasi, platform media sosial akan lebih berupaya melindungi data pengguna dan mencegah serangan siber.

Kerajaan kena sediakan langkah sokongan

Namun, pengenalan lesen operasi untuk platform media sosial juga menimbulkan beberapa persoalan penting. Pertama, bagaimana kerajaan akan memastikan proses pelesenan dilaksanakan dengan adil dan telus?

Kedua, apakah mekanisme penguatkuasaan akan digunakan untuk memantau kepatuhan platform terhadap peraturan baharu?

Ketiga, apakah kesan ekonomi dan sosial mungkin timbul akibat langkah ini, terutama kepada pengguna dan perniagaan kecil bergantung kepada media sosial sebagai alat pemasaran serta komunikasi?

Bagi memastikan proses pelesenan dilaksanakan dengan adil dan telus, kerajaan perlu mewujudkan satu mekanisme telus dan bebas daripada pengaruh politik.

Proses pelesenan perlu berdasarkan kriteria jelas dan objektif, manakala keputusan pula perlu dibuat pihak berwibawa serta berkecuali, selain platform media sosial perlu diberikan peluang merayu jika tidak bersetuju dengan keputusan dibuat.

Penguatkuasaan peraturan baharu ini juga memerlukan mekanisme berkesan. Pihak berkuasa perlu mempunyai sumber mencukupi untuk memantau dan mengawal selia kandungan di platform media sosial.

Selain itu, kerjasama antara kerajaan dengan penyedia platform media sosial juga adalah penting untuk memastikan peraturan dipatuhi.

Pihak berkuasa perlu mempunyai akses kepada data dan maklumat diperlukan untuk mengesan serta bertindak terhadap platform melanggar peraturan.

Pengenalan lesen operasi untuk platform media sosial juga boleh memberi kesan ekonomi dan sosial signifikan.

Pengguna dan perniagaan kecil bergantung kepada media sosial sebagai alat pemasaran dan komunikasi mungkin terjejas jika platform yang mereka gunakan ditutup atau dikenakan tindakan.

Oleh itu, kerajaan perlu mempertimbangkan kesan ini dan memastikan langkah sokongan disediakan untuk membantu pengguna dan perniagaan terjejas.

Dalam konteks kebebasan bersuara, kerajaan perlu lebih berhati-hati supaya peraturan ini tidak digunakan sebagai alat mengekang pandangan sah dan pelbagai.

Kebebasan bersuara adalah asas kepada demokrasi sihat, manakala sebarang peraturan diperkenalkan mesti seimbang antara menjaga keselamatan dengan kebebasan pengguna.

Secara keseluruhannya, pengenalan lesen operasi untuk media sosial adalah langkah berani dan diperlukan untuk mengawal selia ruang digital semakin kompleks.

Namun, kejayaan dasar ini bergantung kepada pelaksanaan adil dan telus serta pengekalan keseimbangan antara keselamatan dengan kebebasan bersuara.

Dengan adanya peraturan baharu ini, kita berharap landskap digital tanah air akan lebih selamat dan terkawal. Platform media sosial pula lebih bertanggungjawab dalam mengawal kandungan disiarkan, manakala pengguna lebih dilindungi daripada ancaman dalam talian. Namun, pada masa sama, kita perlu memastikan bahawa kebebasan bersuara tidak dikompromi dan peraturan ini dilaksanakan dengan adil dan telus.

Kita juga perlu mengambil kira kesan ekonomi dan sosial yang mungkin timbul, dan menyediakan langkah sokongan yang sesuai untuk membantu pengguna dan perniagaan yang terjejas.

Dalam usaha menjayakan dasar ini, kerjasama antara kerajaan, penyedia platform media sosial dan pengguna adalah sangat penting.

Akhir kata, pengenalan lesen operasi untuk media sosial adalah satu langkah yang penting dalam usaha untuk mengawal selia ruang digital di Malaysia.

Dengan pelaksanaan yang adil dan telus, serta kerjasama di antara semua pihak yang terbabit, kita dapat mewujudkan satu ekosistem digital yang selamat, terkawal dan bebas daripada ancaman dalam talian.  – BH ONLINE

  • Penulis ialah seorang penganalisis media dan pensyarah kanan.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close