Two Cents

PANDANGAN: Tarif baharu 15 peratus AS – Syarikat Malaysia lega 150 hari – Penganalisis

Keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) membatalkan pelaksanaan tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) pada 20 Februari lalu, dilihat memberi sedikit kelegaan kepada pengeksport Malaysia, terutama dalam mengurangkan ketidaktentuan dasar perdagangan negara itu.

Pada masa sama, tarif global baharu 15 peratus yang diumumkan pentadbiran Presiden Donald Trump adalah sah mengikut undang-undang buat sementara waktu, bermakna ia boleh mengutip cukai daripada barangan yang masuk ke pasaran negara itu, termasuk produk Malaysia.

Secara teknikalnya, tarif dikenakan AS itu adalah cukai yang perlu dibayar pengimport di AS kepada kerajaannya, yang memberi kesan kepada kos import yang lazimnya dipindahkan kepada pengguna di negara itu.

Menurut BIMB Securities Research, tarif global baharu itu dilaksanakan mengikut Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974, yang membenarkan tarif sehingga 15 peratus sehingga maksimum 150 hari tanpa kelulusan Kongres.

Bagi Malaysia, perkara ini menimbulkan persoalan penting berhubung Perjanjian Tarif Timbal Balik (ART) yang ditandatangani tahun lalu.

“Sekiranya tarif timbal balas 19 peratus yang diumumkan sebelum ini ke atas Malaysia digantikan dengan tarif global seragam 15 peratus di bawah Seksyen 122, Malaysia secara efektif akan menghadapi kadar yang lebih rendah, sekurang-kurangnya bagi tempoh 150 hari itu,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Kesan baik tarif baharu

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak, pula berkata sebelum ini, tarif boleh dikenakan secara meluas atas alasan kecemasan ekonomi, menyebabkan syarikat sukar merancang kos dan harga eksport.

Justeru, katanya dengan pembatalan itu, risiko tindakan tarif secara mengejut menjadi lebih rendah, sekali gus membantu kestabilan perdagangan.

Namun, beliau mengingatkan bahawa kesan baik itu sebahagiannya diimbangi pelaksanaan tarif global baharu kerana kos eksport ke AS masih meningkat.

“Dari sudut daya saing, produk Malaysia mungkin kekal kompetitif jika pesaing utama turut dikenakan kadar tarif yang sama, tetapi margin keuntungan pengeksport berkemungkinan mengecil dalam jangka pendek,” katanya kepada BH.

Mengulas tarif global baharu AS sebanyak 15 peratus itu, Mohamad Idham berpandangan, pelaksanaan tarif berkenaan boleh dianggap lebih ‘ringan’ berbanding tarif timbal balas sekitar 19 peratus yang sebelum ini dibincangkan, justeru Malaysia secara relatif menikmati kadar lebih rendah berbanding senario lebih ‘berat’.

Beliau berkata, perkembangan terbaharu itu bermakna tekanan kos kepada pengeksport tidak setinggi yang dijangkakan sebelum ini.

Menurutnya, antara produk yang berpotensi mendapat manfaat termasuk barangan E&E, komponen semikonduktor, sarung tangan getah serta produk kayu dan perabot memandangkan sektor itu sangat bergantung kepada pasaran AS.

Katanya, jika tarif dikenakan secara seragam kepada banyak negara, pembeli AS masih akan mengekalkan pembekal yang mempunyai rantaian bekalan stabil dan kualiti konsisten seperti Malaysia.

“Dalam konteks ini, kesannya lebih kepada pelarasan harga dan kecekapan operasi berbanding kehilangan pasaran secara mendadak,” katanya.

Imbangan dagangan defisit

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, menjelaskan bahawa tarif import AS adalah cukai yang perlu dibayar oleh pengimport di AS kepada kerajaan negara ini.

Beliau berkata, perkara itu berlaku berikutan pendirian di bawah pentadbiran Trump yang menyatakan bahawa imbangan dagangan yang defisit, iaitu import melebihi eksport adalah sesuatu yang tidak adil.

Katanya, situasi itu berlaku berikutan AS dikatakan banyak membeli daripada negara luar berbanding menjual ke negara luar.

Justeru, jelasnya, tarif import AS itu bertujuan mengurangkan import supaya imbangan dagangan defisit itu dapat dikurangkan.

Namun, menurut Mohd Afzanizam, keputusan itu dibatalkan Mahkamah Agung AS atas dasar presiden sudah melebihi had kuasanya dalam isu tarif itu.

“Apabila keputusan dibatalkan, maka peniaga tidak perlu membayar tarif lagi. Bahkan dijangka akan menerima pulangan balik daripada tarif yang dibayar sebelum ini.

“Ini adalah kesan positif kerana ia boleh mengurangkan kos perniagaan, di samping dapat suntikan daripada tarif yang dibayar sebelum ini,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, dari segi kesan buruknya, pentadbiran Trump akan menggunakan peruntukan undang-undang yang lain bagi memenuhi aspirasi pentadbirannya.

Justeru, beliau melihat ‘drama’ berkaitan tarif AS dijangka berpanjangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini berkata penjelasan awal sudah diberikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan penelitian berhubung perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, Jumaat ini. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close