Oleh Faisalludin Mohamat Yusuff
Syukur alhamdulillah, walaupun rasanya baru sahaja menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan, kita kini sudah menjejakkan kaki ke hari ke-9 berpuasa.
Esok sudah masuk hari yang ke 10 Ramadhan.
Cepat sungguh masa berlalu dan bagaimana agaknya kualiti amal ibadah kita pada kali ini.
Mudah-mudahan Allah SWT menerima segala amalan dan pengampunan kita semua.
Disebalik kesibukan kita fokus kepada menggandakan amal ibadah di bulan yang mulia ini, jangan pula sampai kita lupa untuk memastikan masa hadapan dan untung rugi kita di dunia yang sementara ini.
Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Qasas ayat yang ke 77 yang bermaksud “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat DAN janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia…”.
Jadi pada tulisan kali ini, saya ingin berkongsi kegusaran yang saya rasai setelah melihat data-data yang dikeluarkan oleh SPR selepas tiga (3) PRN yang berlaku.
Yang pertama, PRN Melaka ke 15. Menurut SPR hanya sejumlah 65.85 peratus sahaja yang keluar mengundi.
Di PRN Sarawak ke 12 pula, yang keluar mengundi hanya sekitar 60.67 peratus.
Dan lebih mengejutkan, peratusan di PRN Johor ke 15 pada bulan Mac baru-baru ini jatuh merudum kepada hanya 54.92 peratus sahaja.
Telah banyak tulisan dan kajian dibuat berkaitan punca dan sebab kepada penurunan jumlah pengundi ini, tetapi pada saya salah satu punca utama kepada berlakunya perkara ini adalah disebabkan rakyat semakin tidak berminat dengan pilihanraya atau dalam bahasa lainnya rakyat sebahagiannya hilang kepercayaan kepada politik di dalam negara ini.
Dalam hal ini saya amat tertarik dengan kandungan ucapan dasar oleh Presiden Umno yang senada dengan ucapan Timbalan Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri Umno di PAU 2021 baru-baru ini dalam usaha mengembalikan semula integriti sistem politik dan ahlinya yang bertujuan untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada sistem demokrasi dan politik di dalam negara ini.
Usaha pertama yang wajib kita laksanakan adalah memastikan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwaraya Negara.
Ini bertujuan untuk mengelakkan berlakunya penyalahgunaan kuasa dan pendakwaan terpilih yang berniat untuk mengaibkan dan membunuh karektor seteru politik.
Perkara kedua yang perlu segera dilaksanakan adalah mewujudkan undang-undang berkaitan Anti Lompat Parti dalam kalangan wakil rakyat yang dipilih samada di peringkat Parlimen atau DUN.
Amalan lompat parti adalah punca kepada segala ketidakstabilan di dalam negara yang membawa banyak kerugian kepada rakyat.
Saya berkongsi kekecewaan dengan beberapa ahli Yang Berhormat termasuk Menteri di JPM (Parlimen dan Undang-Undang) apabila Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti tidak dapat dibentangkan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada hari ini.
Apa sudah jadi dan kenapa perkara yang baik ini, yang sangat diimpikan oleh rakyat masih belum kita tunaikan.
Diharap pihak Kerajaan dan Pembangkang bersatu hati meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti dengan segera sebelum PRU 15 bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat.
Ketiga, negara ini wajib mewujudkan Akta Pendanaan Parti Politik (Political Funding Act). Ini bertujuan untuk membuktikan ketelusan sesebuah parti politik dan menunjukkan kepada rakyat bahawa parti-parti politik adalah sebuah institusi yang benar-benar membela rakyat serta jauh dari amalan yang tidak sihat seperti rasuah dan penglibatan aktiviti wang haram.
Pada saya, ketiga-tiga usaha di atas terpakai bukan sahaja kepada parti UMNO secara khususnya bahkan kepada semua parti yang wujud di dalam negara ini.
Usaha ini akan dapat memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap politik dan amalan demokrasi pilihanraya di dalam negara ini.
Sama-samalah kita doakan sebarang usaha yang baik ini bukan sahaja dapat memulihkan keadaan negara bahkan menjadikan negara ini “Baldatun Toyyibatun Warobbun Ghofur” (Negara yang terbaik dan mendapat keampunan dari Allah SWT).
- Penulis ialah Peguam Muda Kampung.