Usul tergempar dikemukakan seorang Ahli Parlimen pembangkang menggesa penangguhan atau pembatalan penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada syarikat berkait BlackRock ditolak Speaker Dewan Rakyat.
Usul berkenaan dikemukakan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1).
“Usul tergempar saya untuk bahas penangguhan atau pembatalan penjualan saham MAHB kepada syarikat pro-Zionis ditolak oleh speaker.
“Saya akan terus runding dan desak dalam Parlimen supaya hal ini dapat dibahaskan dan semua rakyat tahu apa sebenarnya sudah dan akan berlaku ke atas aset strategik negara iaitu 39 buah lapangan terbang kita,” katanya menerusi perkongsian di Facebook selepas menghadiri sesi pagi persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam surat jawapan itu, Johari memaklumkan sudah meneliti usul dikemukakan itu yang antara lain mencadangkan supaya Majlis Mesyuarat ditangguhkan untuk merundingkan usul berkenaan.
“Oleh itu, usul ini adalah tidak teratur kerana ia tidak menepati keperluan dalam Peraturan Mesyuarat 18 PPMMDR.
“Justeru, selaras dengan peruntukan di bawah Peraturan Mesyuarat 18(7)(c) PPMMDR, saya menolak usul Yang Berhormat dalam kamar,” menurut surat jawapan berkenaan.
Sebelum ini, Wan Ahmad Fayhsal dilaporkan mengemukakan usul meminta kerajaan menarik semula keputusan penjualan sebahagian saham MAHB di Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) & 18(2) sebagai usul tergempar.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, usul sama dihantar mengikut Peraturan Mesyuarat 27(1) dan 27(3) pada awal Jun lalu sebagai usul persendirian yang dijadikan sebahagian daripada Aturan Urusan Mesyuarat (Ahli Bukan Kerajaan) bagi pertimbangan untuk dibahaskan.
Pada 15 Mei lalu, Gateway Development Alliance (GDA) dan pemegang sahamnya mengumumkan tawaran sukarela prasyarat untuk mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki Konsortium, pada harga tawaran sebanyak RM11 sesaham yang bersamaan dengan RM18.4 bilion.
Konsortium itu diterajui dua Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan Malaysia – Khazanah Nasional Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). – BH ONLINE