GovernansPilihan Editor

Pakar Ekonomi Puji Strategi PN Urus Ekonomi Negara

Pakar ekonomi memuji tindakan kerajaan mengendalikan dan membuat percaturan ekonomi ketika negara berdepan ‘kesempitan.

Mereka berpendapat, tindakan mengutamakan kebajikan rakyat menerusi dasar prihatin khas dilihat sebagai sesuatu yang berani dan tepat dengan perkembangan semasa.

Pakar ekonomi, Prof Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdil Rashid, berkata ketika melalui kesempitan kewangan sektor awam, kerajaan memilih untuk melebarkan sedikit defisit fiskal demi mengutamakan kebajikan rakyat.

Katanya, kerajaan juga sanggup berkorban dalam usaha mewujudkan akaun fiskal yang seimbang bagi memberikan keutamaan menjaga kebajikan rakyat.

“Kerajaan PN sekarang sedang merancang pelan jangka panjang pembangunan ekonomi yang akan dapat mengubah struktur asas ekonomi.

“Setakat ini, dalam jangka pendek, gangguan kepada sistem pengeluaran negara yang terpaksa ditutup sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebahagian besarnya dapat dipulihkan apabila ekonomi dapat dibuka semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja di Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN)- Pencapaian, Harapan dan Cabaran anjuran Pertubuhan Intektual Negara (PINTAR) di Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Zakariah berkata, strategi yang diambil kerajaan berjaya menyelamatkan pekerja dan kadar pengangguran ditangani dengan kadar penurunan yang munasabah.

“Sebaik saja ekonomi dibuka semula (selepas PKP), kadar pengangguran (bulanan) turun dan kegiatan ekonomi kembali cergas,” katanya.

“Kemelesetan Keluara Dalam Negara Kasar (KDNK) berlaku pada kadar yang munasabah dan setakat ini ia lebih baik berbanding negara lain. Ini menandakan pakej mitigasi rangsangan ekonomi menampakkan kejayaan,” katanya.

Beliau juga memuji usaha kerajaan PN menyemak kembali penunjuk kemiskinan supaya ia kelihatan lebih relevan dan sesuai dengan tahap pembangunan ekonomi negara masa kini.

Sementara itu, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, Muhyiddin dilihat sebagai model kepemimpinan Islam yang agak mengagumkan.

Katanya, perkara itu boleh dilihat menerusi usaha Muhyiddin sebagai ketua kerajaan yang berusaha keras untuk membawa keluar ekonomi negara dari kegawatan ekonomi disebabkan oleh COVID-19.

“Kerajaan ini dengan berani membuat pilihan untuk menyelamatkan nyawa warganya berbanding dengan usaha untuk cuba menyelamatkan ekonomi dari kesan kegawatan.

“Apabila mengumumkan Skim Bantuan Sosial, kerajaan terus menerus menonjolkan kepentingan memastikan ada cukup makanan di atas meja untuk semua keluarga di dalam negara.

“Ini mengingatkan kita dengan usaha gigih Khalifah Umar Abdul Aziz yang memikul bekalan untuk mencari keluarga yang memerlukan bantuan dan layak menerima zakat,” katanya.

Beliau berkata, dengan jumlah RM290 bilion yang dibelanjakan di dalam tempoh tiga bulan untuk menangani kesan wabak COVID-19, kerajaan PN dilihat bertanggungjawab dan prihatin terhadap rakyat. – BERITA HARIAN

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close