Pilihan EditorTwo Cents

Krisis Politik Di Melaka Siri 1: Peguam Muda Kampung

Oleh Faisalludin Mohamat Yusuff

 

Alhamdulillah akhirnya saya dapat juga sesalinan Perlembagaan Negeri Melaka dari seorang sahabat yang bertugas di sana.

Walaupun ianya hanya mengandungi segala pindaan hingga 1 Januari 2008 tetapi saya kira cukuplah untuk kita melihat apa yang berlaku di DUN Melaka kini dari sudut Perlembagaan Negeri Melaka (“PNM”) itu sendiri.

Sebelum itu eloklah kita lihat kronologi yang berlaku di dalam DUN Melaka sebelum kita kaitkan dengan peruntukan-peruntukan yang berkaitan di dalam PNM.

a) Pada 9.3.2020, ADUN Lendu, Datuk Sulaiman Md Ali telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka yang baru apabila beliau mendapat sokongan 15 orang ADUN yang bersama gabungan BN. Beliau menjadi KM ke-12 negeri Melaka setelah menggantikan Haji Adly Zahari yang dilantik sebagai ketua menteri Melaka ke-11 pada 11 Mei 2018.

b) Pada 4.10.2021 empat ADUN iaitu bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) telah mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

c) Susulan dari pengumuman 4 orang ADUN tersebut maka kedudukan terkini DUN Melaka adalah sebagaimana berikut:

BN  :  11 ADUN

PH :  13 ADUN

Bebas :    4 ADUN

Selanjutnya, berdasarkan kepada laporan di dalam media bertarikh 5.10.2021, Yang Dipertua Speker DUN, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh telah memaklumkan bahawa Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam telah bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

[https://www.hmetro.com.my/utama/2021/10/762877/mohd-ali-setuju-dun-melaka-dibubarkan],

[https://www.utusan.com.my/terkini/2021/10/sah-dun-melaka-bubar/],

[https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2021/10/05/speaker-sahkan-dun-melaka-bubar]

 

KEDUDUKAN KETUA MENTERI-12

Perkara 7 (2) (a) PNM telah menyatakan “Majlis Mesyuarat Kerajaan hendaklah dilantik seperti berikut, iaitu – (a) Yang di-Pertua Negeri hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Ketua Menteri untuk mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan seorang ahli DUN yang pada pendapatnya akan mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli Dewan itu.

Perkara 7 (4) PNM telah menyatakan “Jika Ketua Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli DUN maka Ketua Menteri hendaklah meletakkan jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan, melainkan jika atas permintaannya Yang di-Pertua Negeri membubarkan DUN.

Berdasarkan kepada apa yang berlaku di Melaka, adalah jelas bahawa setakat hari ini KM-12 telah hilang kepercayaan sebilangan besar ahli DUN.

Hanya 11 orang dari 28 ADUN yang menyokong beliau. Sedemikian, 17 orang ADUN tidak lagi menyokong KM-12.

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada Perkara 7 (4) PNM, KM-12 hendaklah meletakkan jawatan atau sekiranya beliau meminta DUN dibubarkan, maka TYT hendaklah membubarkan DUN.

Persoalannya kini, adakah KM-12 telah meletak jawatan atau telah memohon kepada TYT untuk membubarkan DUN Melaka.

Setakat yang dilaporkan oleh media hari ini, tiada sebarang kenyataan dibuat oleh KM-12.

Sebaliknya, speaker DUN Melaka iaitu Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh telah memaklumkan bahawa Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam telah bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagaimana yang dilaporkan oleh media pada 5.10.2021 yang lalu.

Maka pada saya moleklah kita sama-sama tunggu kenyataan bertulis samaada dari pejabat TYT Melaka atau KM-12 sendiri berkaitan perkara ini.

Sama-samalah kita doakan yang terbaik buat rakyat negeri Melaka dan Malaysia keseluruhannya apatah lagi kini kita masih lagi belum menang melawan wabak covid-19. – BACALAHMALAYSIA.MY

  • Penulis ialah Peguam Muda Kampung.

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close