Dimensi BisnesPilihan Editor

TERAJU, USM Meterai MoA Laksanakan Projek RM8.75 juta

Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Universiti Sains Malaysia (USM) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) untuk melaksanakan dua projek menjana ekonomi komuniti serta usahawan B40 membabitkan dana berjumlah RM8.75 juta, di sini, hari ini.

TERAJU melalui Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) 2020 meluluskan pembiayaan itu bagi USM melaksanakan Program Pemasaran Lestari Untuk Masyarakat (SMART Community) dan Program Inovasi Untuk Masyarakat (INNO4C) Koridor Utara membabitkan tempoh selama lima tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Md Silmi Abd Rahman, berkata menerusi perjanjian itu, kedua-dua pihak akan berkongsi kepakaran untuk pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat, terutama golongan komuniti serta usahawan B40.

Antaranya, USM akan berkongsi kepakaran dalam bidang penyelidikan, kajian dan inovasi, selain pembabitan potensi golongan muda.

Katanya, SMART Community yang dilaksanakan di Sarawak akan menumpukan pembangunan ekosistem rantaian bekalan, platform pemasaran antarabangsa dan pusat pengedaran sebagai kemudahan infrastruktur pasaran setempat.

Melalui program itu, beliau berkata, seramai 50 usahawan Sarawak akan dibantu bagi membolehkan produk mereka menembusi pasaran dunia dan bersaing secara kompetitif setanding produk antarabangsa.

“Ekosistem yang dibangunkan pula bakal mewujudkan 20 peluang pekerjaan baharu kepada komuniti B40.

“Tiga produk dikenal pasti, iaitu makanan, minuman kesihatan dan kraftangan tempatan yang dijangka memasuki pasaran Amerika Utara, China, Jepun, Taiwan serta Arab Saudi pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani MoA antara TERAJU dengan universiti itu dan USAINS Group Holding Sdn Bhd, di USM.

MoA itu ditandatangani Md Silmi mewakili TERAJU dengan disaksikan Pengarah Pembiayaan Unit TERAJU, Mohd Najib Jaafar, manakala USM diwakili Naib Canselornya, Prof Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan, dengan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Datuk Dr Abdul Rahman Mohamed, sebagai saksi.

Mengulas lanjut, Md Silmi berkata, Program INNO4C pula akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Projek Meningkatkan Pertanian Akuakultur Multitrofik Bersepadu (IMTA) Bagi Rumpai Laut dan Lobster di Langkawi, Kedah.

Projek itu akan mengubah pengurusan secara menyeluruh seperti berasaskan sains dan teknologi serta mekanisme mengurangkan kebergantungan tenaga buruh, iaitu 80 peratus di pelantar dan 20 peratus di laut.

“Pengeluaran rumpai laut kini hanya tertumpu di Sabah, justeru usaha itu akan mengembangkan penternakannya di Semenanjung dengan pengurusan lebih cekap, mesra alam dan lestari,” katanya. – BERITA HARIAN

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button
Close