Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berharap konglomerat itu meraih kejayaan berterusan walaupun berdepan keadaan dan cabaran yang berbeza.
Wan Zulkiflee yang akan menamatkan tugas selepas 37 tahun berkhidmat di PETRONAS mengharapkan generasi pemimpin masa hadapan akan terus membawa kemajuan kepada syarikat minyak nasional itu.
Wan Zulkiflee yang menerajui PETRONAS sejak 2015 berkata, perjalanan bersama syarikat itu bukanlah singkat kerana sejak 1974, syarikat itu menjadi tempat generasi membuat persiapan untuk generasi berikutnya bagi memacu organisasi itu ke tahap yang lebih tinggi.
“Sesungguhnya, saya yakin dengan pandangan bahawa tiada kejayaan tanpa pengganti. Pencapaian yang berkekalan hanya dapat diraih jika ia diteruskan setelah kita lama pergi,” katanya.
Wan Zulkiflee akan digantikan oleh Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz yang ketika ini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan PETRONAS bermula 1 Julai ini.
Berkuatkuasa tarikh sama, Wan Zulkiflee dilantik sebagai Pengerusi baharu Malaysia Airlines Bhd (MAB).
Dalam video sama, Wan Zulkiflee Wan Ariffin menggesa rakan-rakannya agar sentiasa memegang prinsip mereka dan berharap PETRONAS terus dipimpin oleh individu yang mempunyai keberanian dan keyakinan.
“Kebiasaannya, jika memegang amanah, anda akan berdepan konflik pilihan dan keputusan yang sukar. Adakalanya, prinsip yang anda pegang mungkin terbukti tidak menarik dan tidak benar-benar popular,” katanya.
Wan Zulkiflee, 60, memulakan kerjayanya di PETRONAS sebagai jurutera proses di Kerteh dan menjadi peneraju syarikat itu pada 2015. – BERITA HARIAN ONLINE