MalaysiaPilihan Editor

Ahli Parlimen Parit Bangkit Pendirian Terkini Kerajaan Berhubung AUKUS Susulan Kunjungan Utusan Khas Australia

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

 

Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria menerusi sesi Waktu Pertanyaan Menteri telah membangkitkan persoalan tambahan berhubung pendirian kerajaan yang terkini berhubung isu pakatan keselamatan tiga negara yang telah diwujudkan antara Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia (AUKUS) susulan kunjungan Utusan Khas Australia ke atas YB Menteri Kanan Pertahanan baru-baru ini.

Tegas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Malaysia kekal dengan pendirian bahawa pembentukan pakatan strategik keselamatan baharu AUKUS yang melahirkan kegusaran kerana berpotensi mengganggu gugat keamanan dan kestabilan Asia Tenggara.

“Ia konsisten dengan pendirian disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa AUKUS juga boleh mewujudkan provokasi kuasa-kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutama di Laut China Selatan.

“Pendirian ini tidak berganjak walaupun selepas bertemu utusan khas Australia Naib Laksamana David Johnston dan sebelum itu saya adakan perbualan telefon bersama Menteri Pertahanan Australia Peter Dutton.

“Dalam kedua-dua perbincangan ini saya telah tegaskan bahawa Malaysia tidak mahu diheret dalam geopolitk pertimbangan kuasa-kuasa besar dunia di rantau ini,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini,

Hishammuddin berkata, dalam kedua-dua perbincangan ini, beliau turut menekankan bahawa sebagai sebuah negara ASEAN, Malaysia berpegang kepada prinsip untuk kekalkan ASEAN sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (Zopfan).

“Australia harus hormati prinsip ini dan pendirian Malaysia terhadap kapal selam berkuasa nuklear yang beroperasi di perairan Malaysia termasuk di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Undang-undang Laut 1982 (UNCLOS) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

“Saya juga maklumkan sekiranya kapal perang atau kapal selam berkuasa nuklear memasuki wilayah perairan Malaysia, berhasrat atau mahu laksana latihan ketenteraan bersama Malaysia, persetujuan khas daripada Menteri Pertahanan Malaysia mesti terlebih dahulu diperoleh di mana saya akan pertimbangkannya secara mengikut kes,” katanya.

Mengenai soalan tambahan Mohd Nizar yang mahu tahu sama ada kerajaan bercadang memanfaatkan kerjasama pertahanan di peringkat ASEAN bagi menyuarakan kegusaran terhadap AUKUS, Hishammuddin menjangka satu pendirian bersama akan diputuskan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN November ini.

Dalam masa sama, beliau turut berhubung dengan Menteri Pertahanan Singapura, Indonesia, Brunei dan akan menghubungi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kemboja esok serta Menteri Pertahanan Filipina dalam masa terdekat.

“Saya harap apa diwujudkan Malaysia dan negara-negara berkenaan secara dua hala dapat membantu kita meneliti cara bagaimana kita dapat mengimbangi kuasa-kuasa besar di rantau kita,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada sambutan ulang tahun ke-50 Perjanjian Pertahanan Lima Negara yang dianggotai Malaysia, United Kingdom, Australia, New Zealand dan Singapura dalam masa beberapa minggu lagi. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close