MalaysiaPilihan Editor

Lakukan Hijrah Dalam Berdepan Pandemik COVID-19 – Agong

Peristiwa hijrah memberi panduan yang jelas mengenai erti pengorbanan. - Foto hiasan NSTP/MIKAIL ONG
Peristiwa hijrah memberi panduan yang jelas mengenai erti pengorbanan. – Foto hiasan NSTP/MIKAIL ONG

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengajak umat Islam dan rakyat di negara ini melakukan hijrah dalam menghadapi pandemik COVID-19.

Baginda turut mengajak rakyat untuk bekerjasama dalam mematuhi Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang juga strategi peralihan untuk keluar secara berfasa, dari kemelut pandemik itu.

“Beta berkeyakinan negara pasti akan berjaya keluar dari apa juga kemelut yang melanda, jika kita semua terus berpadu tenaga dan mengamalkan sifat-sifat terpuji baginda Nabi Muhammad SAW.

“Peristiwa hijrah memberi panduan yang jelas kepada kita mengenai erti sebuah pengorbanan dan kejayaan yang terpahat dalam liputan sejarah.

Video titah baginda disiarkan melalui stesen televisyen RTM dan Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Al-Sultan Abdullah bertitah, saban tahun kedatangan tahun baharu hijrah yang mengingatkan seluruh umat Islam dengan sejarah suka duka dan pelbagai cabaran yang ditempuhi Rasullulah SAW yang berhijrah dari Makkah ke Madinah.

Justeru, Baginda mengajak umat Islam untuk menteladani sifat mulia Rasullulah SAW, termasuk benar dalam semua perkataan dan perbuatan, bersifat jujur dan dipercayai serta bijaksana dalam menyampaikan dakwah.

“Hijrah dan pembinaan negara saling berkait rapat di antara satu dengan yang lain. Sesungguhnya, menghayati hijrah bukan saja berupaya membentuk akhlak yang mulia, malah turut berupaya dijadikan asas pembentukan sebuah negara.

“Pada hemat beta, pemerintahan dan kepimpinan Nabi Muhammad SAW contoh yang terbaik untuk diikuti oleh sekelian manusia.

“Menghalusi sirah Nabi Muhammad SAW, ia jelas membuktikan baginda sebagai seorang pemimpin yang beretika tinggi dengan akhlak yang mulia merangkumi sifat-sifat integriti, kejujuran dan amanah,” titah baginda.

Baginda bertitah, dalam aspek pentadbiran dan membuat keputusan, Rasulullah SAw mengamalkan sikap terbuka dan sentiasa mendengar buah fikiran ramai menerusi konsep syura, sekali gus membuka seluas-luasnya ruang untuk bermesyuarat, berbincang dan mendengar pandangan dalam setiap perkara yang berkaitan dengan kebajikan dan kemaslahatan ummah.

Titah baginda, sifat Rasulullah SAW turut meliputi sifat tawaduk dan sentiasa mengagungkan kebesaran Allah SWT, lantas menjadikannya seorang pemimpin yang tidak terpengaruh dengan sifat tamak yang boleh mengundang gejala rasuah, tipu muslihat dan sifat mementingkan diri sendiri dengan kebesaran dunia seperti pangkat, harta dan kedudukan.

“Nabi Muhammad SAW turut berusaha menyuruh ke atas kebaikan dan mencegah kemungkaran. Semua ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran negara yang beretika dengan nilai-nilai yang murni.

“Ciri-ciri kepimpinan ini berjaya membentuk sebuah negara Islam yang dijulang tinggi dan disegani,” titah baginda. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close